SEREMBAN: Malaysia masih menunggu keputusan rasmi daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan penambahan kuota jemaah haji dari negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, permohonan rasmi telah dikemukakan mengenai penambahan kuota itu namun maklum balas belum diterima.
“Buat masa ini belum ada sebarang maklum balas dan kami tidak dapat menjangkakan bila keputusan itu akan dibuat. Kami sudah memohon, namun keputusan sepenuhnya terletak kepada kerajaan Arab Saudi.
“Tetapi kami boleh beri jaminan setiap kuota yang diberikan itu akan dipenuhi 100 peratus. Itu adalah kecemerlangan Tabung Haji,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Jenayah Syariah Dalam Kalangan Belia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan kerajaan menjangkakan bilangan jemaah haji negara akan bertambah pada masa depan berbanding kuota 31,600 yang diberikan Arab Saudi ketika ini.
Zulkifli berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh Lembaga Tabung Haji bagi mengurangkan penangguhan haji dalam kalangan jemaah terpilih iaitu kepada 18 peratus pada tahun ini berbanding antara 40 hingga 50 peratus sebelum ini.
“Bukan menolak, tetapi mereka menangguhkan. Mereka masih mahu pergi menunaikan haji, cuma mungkin belum bersedia daripada segi tertentu. Alhamdulillah, kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus,” katanya.
Katanya, antara inisiatif dilaksanakan termasuk pemberian notis lebih awal kepada pendeposit supaya dapat membuat persediaan kewangan mencukupi, penekanan terhadap tahap kesihatan serta bimbingan berterusan mengenai persiapan menunaikan ibadah haji.
Beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana kerajaan dan Lembaga Tabung Haji mempunyai sistem, perancangan serta petugas berpengalaman bagi memastikan kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara, meskipun negara berdepan kekangan kuota ditetapkan kerajaan Arab Saudi. – UTUSAN










