PUTRAJAYA: Ahli perniagaan, Tan Sri Shahril Shamsuddin mendakwa segala alasan dibuat bapanya yang juga pengasas Sapura Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir berhubung tuntutan pemberian hibah 14.58 juta unit saham sebagai tidak berasas.
Peguam syarie, Dr. Mohd. Rafie Mohd. Shafie yang mewakili Shahril selaku defendan pertama memaklumkan pihaknya ingin memfailkan bantahan awal bagi membuktikan dakwaan-dakwaan Shamsudin selaku plaintif adalah fasid.
“Permohonan bantahan awal ini adalah hak defendan dan undang-undang membenarkan perkara tersebut. Walaupun dikatakan membuang masa, ini adalah hak kami dan kami memohon supaya mahkamah membenarkan bantahan awal ini difailkan.
“Isu dakwaan fasid adalah isu yang serius. Sebelum dakwaan tersebut dibuktikan, kami memohon kebenaran mahkamah untuk memfailkan bantahan dan seterusnya membuktikan bahawa dakwaan plaintif adalah tidak berasas,” hujahnya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Fasid bermaksud rosak, binasa, tidak sah, atau batal terutamanya dalam konteks syarak seperti akad nikah atau urus niaga dan merujuk kepada sesuatu yang cacat atau tidak sempurna rukun dan syaratnya.
Sebelum ini, Shamsuddin memohon Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengarahkan anak sulungnya memulangkan semula 14.85 juta unit saham yang dihibahkan hampir 30 tahun lalu, dalam masa 30 hari.
Beliau selaku plaintif memfailkan permohonan berkenaan menerusi Tetuan Azhar Aziz & Associates pada 2 September lalu, dengan menamakan Shahril, 64, sebagai defendan.
Bagaimanapun, peguam syarie, Suhaimi Saad yang mewakili Shamsuddin membantah tindakan tersebut atas alasan tiada sebarang unsur kekhilafan dalam permohonan dibuat oleh anak guamnya.
“Seorang bapa mempunyai hak untuk menarik balik hibah pada bila-bila masa. Kami memohon kepada mahkamah untuk mengambil kira bahawa bapa mempunyai hak penuh untuk menarik balik apa-apa hibah yang telah diberikan kepada anak-anaknya.
“Pihak kami juga mempunyai hak di sisi undang-undang (locus standi) dan tuntutan ini adalah bermerit,” ujarnya.
Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan mewakili anak kedua Shamsuddin yang juga pemegang saham Sapura Holdings, Datuk Shahriman yang turut dinamakan sebagai defendan kedua dalam permohonan pengesahan hibah tidak membantah permohonan pengesahan tersebut.
Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail kemudian memerintahkan Shahril untuk memfailkan bantahan awal berhubung pemberian hibah dalam bentuk 14.58 juta unit saham oleh bapanya dalam masa tiga minggu selepas mendengar hujah daripada pihak-pihak terlibat.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Februari 2026 bagi sebutan semula kes. – UTUSAN










