PETALING JAYA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan 6,597 kes dengan nilai rampasan kira-kira RM1.8 bilion sepanjang tahun ini.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, ia melalui 122 operasi bagi membanteras penyeludupan.
Katanya, jumlah terbabit menunjukkan peningkatan sebanyak 17.52 peratus iaitu RM268.46 juta berbanding tempoh yang sama pada 2024 iaitu sebanyak RM1.53 bilion.
Anis berkata, lima komoditi utama yang mencatatkan nilai rampasan tertinggi adalah dadah sebanyak 642 kes dengan kuantiti rampas 6,949.42 kilogram bernilai RM478.5 juta manakala penyeludupan kenderaan sebanyak 502 kes membabitkan 6,475 unit bernilai RM118.37 juta dengan jumlah cukai pula RM65.06 juta.
“Kastam turut merampas rokok membabitkan 2,248 kes atau 526.82 juta batang bernilai RM96.30 juta termasuk cukai RM364.18 juta.
“Minuman keras dan bir pula sebanyak 870 kes dengan rampasan 60.50 juta liter bernilai RM33.53 juta termasuk cukai RM86.08 juta dan terakhir mercun serta bunga api sebanyak 132 kes dengan rampasan 482,656 kilogram berjumlah RM11.24 juta termasuk cukai RM10.54 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, JKDM mahu meningkatkan kutipan hasil secara berterusan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani demi menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan negara.
“JKDM akan terus melaksanakan tanggungjawab serta tidak akan berkompromi dalam memerangi sebarang aktiviti penyeludupan yang akan menjejaskan kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.
Katanya, JKDM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pemegang taruh atas sokongan padu diberikan, khususnya Kementerian Kewangan serta agensi penguatkuasaan yang lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kerjasama berterusan.
“Sokongan ini amat penting bagi merealisasikan matlamat bersama dalam pungutan hasil negara.
“JKDM juga ingin merakamkan ucapan penghargaan tidak terhingga kepada rakan strategik media yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu dalam menyiarkan berita terkini mengenai kejayaan kutipan hasil, kemudahan fasilitasi perdagangan dan kes-kes penguatkuasaan dilaksanakan oleh JKDM,” katanya. – UTUSAN











