Mampukah Malaysia capai sifar miskin tegar suku pertama 2026?

Mampukah Malaysia capai sifar miskin tegar suku pertama 2026?

KEMISKINAN tegar masih wujud dalam kelompok tertentu khususnya di kawasan luar bandar Kelantan, Kedah dan Perlis, pedalaman Sabah dan Sarawak, termasuk komuniti bandar miskin di pinggiran kota.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH sekian lama bergelut dengan isu kemiskinan tegar, negara dijangka mencapai sifar kemiskinan tegar menjelang suku pertama 2026. Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja membawa harapan kepada ribuan isi rumah yang hidup dalam kitaran kemiskinan sejak turun-temurun, malah membuktikan keupayaan dasar sosial negara untuk mengubah nasib rakyat secara menyeluruh.

Menurut data terkini kerajaan, kadar miskin tegar telah menurun kepada hanya 0.09 peratus merupakan rekod paling rendah dalam sejarah Malaysia.

Walaupun angka ini kelihatan kecil, namun pada setiap titik peratusan wujud manusia sebenar, dengan kisah pengorbanan, perjuangan hidup dan aspirasi untuk masa depan.

Justeru, kejayaan ini perlu dilihat bukan sekadar statistik pencapaian negara semata-mata malah sebagai ukuran keberkesanan intervensi yang dirangka untuk mengangkat martabat rakyat.

Walaupun Malaysia merupakan antara ekonomi paling kukuh dan pelbagai di Asia Tenggara, namun kemiskinan tegar masih wujud dalam kelompok tertentu khususnya di kawasan luar bandar Kelantan, Kedah dan Perlis, pedalaman Sabah dan Sarawak, termasuk komuniti bandar miskin di pinggiran kota.

Beberapa kumpulan demografi seperti ibu tunggal, warga emas, masyarakat Orang Asli dan pekerja gig turut dikesan tergolong dalam miskin tegar susulan keterbatasan peluang dalam ekonomi.

Golongan ini sering berdepan dengan pelbagai bentuk kerentanan termasuk ketiadaan simpanan, pendapatan yang tidak stabil, masalah kesihatan, akses pendidikan yang terhad dan jurang kemahiran yang mengekang peluang mobiliti sosial.

Oleh itu, usaha membasmi kemiskinan tegar tidak hanya bertujuan mengatasi keperluan jangka pendek, malah turut menuntut pembinaan sistem perlindungan sosial yang kukuh dan mampan supaya mereka tidak jatuh semula ke dalam kitaran kemiskinan pada masa hadapan.

Operasi lapangan perlu diperkukuhkan melalui pemantauan bulanan dijalankan secara terperinci, dan isu kelewatan projek awam perlu diselesaikan dengan kadar segera melalui koordinasi agensi pusat dan negeri.

Elemen kemudahan awam seperti elektrik, air bersih dan jalan raya bukan lagi dianggap sebagai kemudahan sampingan, tetapi menjadi faktor asas yang perlu diberi perhatian bagi menentukan kesaksamaan peluang.

Sabah dan Sarawak akan menjadi medan paling mencabar, terutama di kawasan pedalaman melibatkan kos logistik yang tinggi, infrastruktur terhad dan geografi yang luas menuntut pendekatan yang lebih kreatif.

Keutamaan dan perhatian terhadap dua wilayah ini turut mencerminkan bahawa realiti kemiskinan tegar tidak hanya dapat ditangani dengan dasar umum semata-mata, malah memerlukan intervensi mengikut lokasi, budaya dalam konteks komuniti yang disasarkan.

Kerajaan telah melaksanakan rangkaian intervensi yang merangkumi pelbagai dimensi, bermula daripada bantuan pendapatan hinggalah kepada pembinaan aset komuniti. Antaranya termasuk pemberian tunai bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah.

Walaupun bersifat jangka pendek, bantuan ini dilengkapi dengan program peningkatan pendapatan agar isi rumah mempunyai sumber yang lebih stabil dan mampan.

Program jaminan makanan turut digerakkan melalui inisiatif agromakanan di kampung, kebun komuniti dan ternakan berskala kecil, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pasaran dan meningkatkan keselamatan makanan keluarga.

Dalam masa yang sama, latihan kemahiran dan penempatan kerja ditawarkan melalui latihan vokasional, kursus keusahawanan dan pemadanan pekerjaan, membolehkan golongan miskin menguasai pelbagai kemahiran seperti pertukangan, pembuatan makanan, jahitan serta perkhidmatan rumah yang mampu menjana pendapatan baharu.

Aspek naik taraf infrastruktur turut diberi perhatian kerana penyediaan elektrik, air bersih, jalan raya dan internet bukan sekadar kemudahan asas, tetapi penentu kepada kebolehcapaian peluang pendidikan, perniagaan dan mobiliti sosial.

Kesemua usaha ini diperkukuh melalui pemantauan dan operasi lapangan yang intensif, di mana kerajaan menggunakan pangkalan data bersasar serta lawatan rumah ke rumah bagi memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Cabaran terbesar bukan sahaja membasmi kemiskinan tegar, tetapi memastikan golongan ini terus bebas dari kemelut kemiskinan.

Petunjuk ekonomi seperti kenaikan kos sara hidup, krisis kesihatan, kehilangan pekerjaan dan kejutan ekonomi boleh menjerumuskan semula keluarga kepada kemiskinan.

Bagi memastikan kemiskinan tegar dapat dibasmi secara kekal, beberapa intervensi jangka panjang perlu diperkukuh.

Pertama, sistem perlindungan sosial mesti diperkasa melalui peluasan jaringan keselamatan seperti pertubuhan keselamatan sosial (PERKESO), bantuan warga emas, subsidi kesihatan dan perlindungan anak yatim.

Golongan rentan tidak boleh dibiarkan bergantung kepada sokongan sementara, sebaliknya memerlukan sistem yang mampu menjamin kestabilan hidup.

Kedua, pendidikan menjadi kunci mobiliti sosial antara generasi, justeru akses kepada sekolah berkualiti, asrama desa, biasiswa, pendidikan teknikal dan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu ditingkatkan supaya generasi muda memiliki peluang masa depan yang lebih cerah.

Ketiga, sumber pendapatan berasaskan komuniti perlu digerakkan melalui model pembangunan kampung yang menekankan pertanian, pelancongan desa, kraftangan dan produk tempatan.

Pendekatan ini tidak hanya menjana pendapatan, tetapi turut mengekalkan masyarakat di kampung untuk mengelakkan migrasi terpaksa ke bandar.

Keempat, dalam era ekonomi gig dan e-dagang, pendigitalan membuka peluang luas, maka akses internet, latihan pemasaran digital dan penyediaan platform jualan perlu diperluas bagi menghubungkan golongan miskin dengan pasaran yang lebih besar.

Akhir sekali, kepimpinan tempatan dan tadbir urus yang cekap sangat penting. Pembasmian kemiskinan tegar memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat, kerana kepimpinan lokal yang kuat memastikan tiada keluarga tercicir daripada radar bantuan dan pembangunan.

Apa yang lebih penting adalah untuk memastikan golongan yang terbabit berjaya dikeluarkan daripada kemiskinan serta mendapat landasan kukuh untuk membina masa depan seperti infrastruktur yang baik, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti dan perlindungan sosial yang saling melengkapi.

Komitmen kerajaan memberi keyakinan bahawa pembangunan negara tidak mengabaikan golongan tercicir. Iltizam ini bukan sahaja mengangkat ekonomi, tetapi memupuk sebuah masyarakat yang adil, sejahtera dan bermaruah.

Apabila kemiskinan tegar berjaya dihapuskan, kejayaan tersebut adalah kejayaan seluruh negara bukan hanya pada angka, tetapi pada kehidupan sebenar rakyat Malaysia. – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Ahmad Zubir Ibrahim ialah pensyarah di Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×