Suami isteri tak mengaku tipu pembekalan makanan lembu

Suami isteri tak mengaku tipu pembekalan makanan lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu berhubung pembekalan makanan lembu ke Iran, tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, Heng Vie Yet dan suaminya, Wong Hun Boon; kedua-duanya berumur 51 tahun dan merupakan pengarah syarikat Stillwater Venture Sdn. Bhd., didakwa menipu syarikat Novin Roshd Shahran Foudeh bahawa syarikat mereka boleh membekalkan 85 metrik tan makanan lembu ke Iran.

Tindakan itu menyebabkan syarikat Novin Roshd mendepositkan Euro 105,295 (RM488,197.60) ke dalam akaun bank atas nama syarikat kedua-dua tertuduh sebagai bayaran pendahuluan 70 peratus yang mana syarikat tersebut tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdaya sedemikian.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 1 Julai dan 12 Disember 2024 di sebuah bank di Jalan Klang Lama di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zul Hilmi Latif mencadangkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun pasangan yang tidak diwakili peguam itu merayu agar jumlah tersebut dikurangkan kerana tidak mampu selain telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan.

Hakim Azrul Darus membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 Januari 2026 untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×