KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,404 notis saman telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap kenderaan perdagangan kerana membawa lebih muatan.
Tindakan kompaun itu dikeluarkan menerusi operasi khas JPJ dalam memerangi kenderaan perdagangan lebih muatan bermula Oktober lalu hingga 31 Disember ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, daripada jumlah itu sebanyak 4,743 notis dikeluarkan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan di bawah saman (JPJ P22).
Katanya, sebanyak 1,538 notis dikeluarkan oleh Agensi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (ALPKP) manakala 123 lagi dikeluarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Bagi penguatkuasaan kenderaan berat, kita masih teruskan dan tidak akan diberhentikan walaupun ia berakhir pada 31 Disember.
“Apa sahaja operasi yang kita laksanakan bagi tahun tahun akan datang, kita masih teruskan secara berskala,” katanya dalam sidang akhbar Op Luxury 4.0 di Depoh B Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Kanan Penguat kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan.
Aedy memaklumkan, hasil operasi dijalankan pelbagai kesalahan dikesan.
“Ada yang kita telah bawa ke mahkamah selain tindakan di bawah seksyen yang ada.
“Selain itu, kita juga akan bertindak untuk lucut hak lori-lori tersebut. Bagi kesalahan kecil kita ambil tindakan saman sahaja,” jelasnya.
Pada 14 Oktober, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengekang kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, operasi yang dinamakan “Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan” itu dilaksanakan serta- merta hingga 31 Disember depan.
Operasi ini meliputi lima zon utama iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo. Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif di setiap zon.
Operasi bersepadu itu akan dijalankan selama tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri pelaksanaan dengan fokus utama diberikan kepada kawasan panas yang sering melibatkan aktiviti kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan.
Antara muatan berisiko tinggi ialah batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak. Kebanyakannya terlibat dalam sektor kuari, pelabuhan dan perindustrian berat.
Selain itu, tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar had muatan ditetapkan di bawah syarat lesen.
JPJ juga tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam hingga mengakibatkan kerosakan jalan raya atau kemalangan.
Pelaksanaan operasi itu juga merupakan sebahagian daripada strategi penguatkuasaan holistik MOT dan JPJ untuk memperkukuh budaya pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan jalan raya. – UTUSAN










