KUBANG PASU: Kemahiran luar biasa dimiliki seorang pelajar tingkatan empat dalam bidang coding (pengekodan) mengundang minat sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran dalam perkhidmatan keselamatan dan pertahanan.
Kerjasama antara Muhammad Khawarizmi Muhamad Kamalrul Zaman, 16, dengan syarikat itu bagi membangunkan secara usaha sama sebuah perisian untuk kegunaan latihan pihak tentera.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Omar di Alor Setar itu bertindak selaku pengatur cara perisian tersebut berdasarkan input yang diberikan oleh pihak syarikat berkenaan.
Menurut anak sulung daripada tiga beradik itu, minat mendalam terhadap bidang pengaturcaraan bermula secara serius sejak 2020 apabila dia bersama adiknya, Muhammad Khazini, 13, cuba membangunkan permainan dalam talian menerusi pembelajaran kendiri.
“Masa itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami cuba hasilkan permainan sendiri dan cari macam-macam game engine sebelum jumpa yang sesuai, kemudian buat pula game launcher yang guna bahasa pengaturcaraan C-Sharp.
“Malah, kami turut merujuk kepada tutorial di YouTube untuk memahami dengan lebih mudah sehinggalah saya berada di tingkatan tiga mula membaca dokumen rasmi untuk kerja-kerja pengaturcaraan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Pada 2020, Muhammad Khawarizmi pernah menjadi perhatian ramai apabila rakaman videonya menggunakan perisian untuk menghasilkan roket secara tiga dimensi (3D) tular sehingga menerima jolokan rocketeer termuda negara.
Ujarnya, penguasaan bidang pengaturcaraan bukan sahaja mengasah ketajaman minda dan kemahiran inovasinya tetapi turut memberi impak positif terhadap pencapaian akademik.
“Gred saya mula meningkat pun sejak terlibat dalam bidang ini kerana masa darjah lima subjek yang paling saya cemerlang adalah Matematik dan Sains, kemudian bila dah belajar pengaturcaraan saya boleh kuasai Teknologi Maklumat Komunikasi (TMK), Reka Bentuk Teknologi (RBT) dan bahasa Inggeris,” katanya.
Sementara itu, minat Muhammad Khawarizmi mendapat sokongan keluarga terutama bapanya yang juga seorang pencipta roket berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Jelas Muhamad Kamalrul Zaman Zainol, 41, anaknya mula menunjukkan minat dalam aktiviti STEM setelah berjaya melancarkan roket pertamanya pada 2019.
“Masa mula terlibat, saya sendiri pun tak pandai Autodesk Fusion 360. Saya kata kepada Khawarizmi kita sama-sama tak tahu, jom kita mula sama-sama. Jadi, kami belajar sepanjang tempoh itu yang bermula dengan Autodesk dan ambil masa dalam beberapa bulan,” katanya.
Mengenai tawaran usaha sama syarikat swasta kepada Muhammad Khawarizmi untuk membangunkan perisian pertahanan, ujarnya, beliau lebih mengutamakan aspek kemenjadian dan pembentukan nilai anaknya.
“Buat projek inovasi, mestilah kena hasil tangan sendiri. Saya sendiri pun tak bantu nak buat, sebab saya tak pandai pun coding. Jadi, itulah sebenarnya yang menyebabkan Khawarizmi dipelawa kerana dia buktikan dia memang boleh buat,” katanya. – UTUSAN











