Ken pernah jadi mangsa buli - Utusan Malaysia

Ken pernah jadi mangsa buli

Ken menunjukkan salah satu aksi taekwondo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Badan kecil, telinga capang!”

Itulah ejekan yang selalu diterima Ken Abdullah ketika dibangku sekolah rendah. Tidak cukup dengan mengejek, kepalanya pernah dimasukkan ke dalam tong sampah. Disepak dan diterajang.

Situasi dipersenda dan dipulaukan, menjejaskan harga diri anak jati kelahiran Selangor ini. Kurang keyakinan diri malah dia selalu menundukkan kepala sewaktu berjalan. Malah adakalanya enggan bersekolah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semasa dalam tingkatan dua, Ken atau nama sebenarnya Abdullah Syukur Ramli, 34, mengambil keputusan menyertai kelas seni bela diri, taekwondo.

“Waktu itu saya hanya mahu menjadikan ilmu itu sebagai pendinding diri. Namun lama-kelamaan saya lakukan dengan lebih serius sebab terpengaruh dengan filem aksi luar negara lakonan Jackie Chan dan Donnie Yen mengenai kehebatan taekwondo,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Bertubuh sasa dengan ketinggian 188 sentimeter sedar tak sedar, sudah lebih dua dekad beliau menguasai taekwondo.

Antara pencapaian tertinggi adalah pingat emas sewaktu mewakili Malaysia dalam Malaysia Open, Johor Bahru (2010) dan tujuh kali juara wakil Daerah Gombak (2003-2008) serta dua kali juara kebangsaan taekwondo wakil Selangor di Pahang (2006) dan Perak.

“Masa kecil saya kurus, rendah dan pendiam. Mungkin itulah yang menjadi sebab saya selalu dibuli. Kalau tengok tubuh badan saya sekarang ini, memang susah nak percaya saya mangsa buli,” katanya tersenyum memberikan penegasan berhubung fizikalnya yang amat berbeza kini.

Ken menunjukkan demonstrasi menggunakan kekuatan tangannya.

Bina keyakinan

Ken menjelaskan, disiplin seni mempertahankan diri, membina keyakinan dalam kebanyakan individu tidak terkecuali dirinya.

Bakatnya dalam sukan itu menyerlah apabila seawal usia 17 tahun beliau diberi kepercayaan sebagai jurulatih sandaran bagi menggantikan guru pada sesi latihan mahasiswi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak.

“Pada peringkat awal saya fikir mungkin ada pelajar enggan beri kerjasama. Maklumlah saya budak sekolah. Namun sangkaan saya meleset. Sesi pelajaran berjalan sempurna. Saya yakin apa-apa pun ilmu yang kita ingin curahkan, mestilah disertai ikhlas dan sabar. Insya-Allah, ada keberkatan dan hasilnya kita nampak,” katanya mengimbau kenangan.

Hingga kini, anak ketiga daripada lima adik-beradik ini sudah mengendalikan lebih tiga kelas dan mengajar lebih 200 pelajar.

Malah Ken turut berjaya melahirkan beberapa atlet taekwondo mewakili Malaysia ke Argentina bagi pertandingan Juara Dunia Buenos Aires 2018. Salah seorang daripada anak didik beliau ialah Fauzi Ridwan.

Anak didik Ken, Fauzi Ridwan yang mewakili negara ke Juara Dunia di Buenos Aires di Argentina pada Ogos 2018.

PKP beri impak

Menyentuh mengenai kelestarian di ‘era-Covid’, siapa sangka ekonomi yang sebelum ini stabil kini meleset.

Akur terpaksa berdepan cabaran besar Ken tidak mudah patah semangat, sebaliknya menyusun strategi kewangan untuk simpanan waktu kecemasan.

“Setahun sebelum negara dijajah pandemik, kewangan stabil, tetapi kini segalanya hampir tiada. Kelas dan studio terpaksa ditutup. Ia sekali gus menjejaskan bisnes,” katanya.

Menangani hal itu Ken berjinak-jinak ke landasan penstriman digital.

“Kekok juga pada awalnya. Antara cabaran dilalui ialah menilai pelajar. Macam mana nak nilai momentum tumbukan pelajar? Tidak kurang juga kesilapan pergerakan bila pelajaran bersemuka kena dilakukan secara online,” katanya.

Pernah berlakon watak aksi filem antarabangsa

Selain berkebolehan dalam gelanggang seni bela diri, Ken juga mempunyai bakat lakonan. Jika di negara serantau lain ada pelakon lagak ngeri Jackie Chan (China ) dan Yayan Ruhian (Indonesia), bagi Malaysia pula, Ken pasti mengukir namanya setara dua bintang hebat itu.

“Saya memulakan karier lakonan sekitar 10 tahun lalu. Masa itu sekadar berjinak-jinak saja sebagai pelakon sebab minat. Tapi, dengan kebolehan ada seni bela diri dan pernah mengikuti pengajian aksi lasak, saya diberikan peluang, ruang dan kepercayaan untuk melakonkan watak aksi,” kongsinya.

Antara aksi lakonan yang pernah dibintanginya ialah filem Don 2 di Bollywood, Top Secret Mission dan drama City of Chaos di China.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×