Ribuan glasier cair setiap tahun menjelang pertengahan abad

Ribuan glasier cair setiap tahun menjelang pertengahan abad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Ribuan glasier dijangka lenyap setiap tahun dalam beberapa dekad akan datang, sekali gus hanya meninggalkan sebahagian kecil menjelang akhir abad ini sekiranya pemanasan global tidak dibendung.

Menurut kajian yang diterbitkan semalam, tindakan kerajaan terhadap perubahan iklim akan menentukan sama ada dunia kehilangan sekitar 2,000 atau sehingga 4,000 glasier setahun menjelang pertengahan abad ini.

Perbezaan hanya beberapa darjah suhu global boleh menjadi penentu sama ada hampir separuh daripada glasier dunia masih dapat dipelihara pada tahun 2100, atau kurang daripada 10 peratus sahaja yang tinggal.

“Hasil kajian kami menekankan keperluan mendesak untuk dasar iklim yang lebih berani,” menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change dan diketuai oleh Pakar Glasier, Dr Lander Van Tricht.

Kebiasaannya, penyelidik memberi tumpuan kepada kehilangan jisim dan keluasan bongkah ais gergasi dunia.

Namun, Tricht dan rakan-rakannya berusaha menentukan berapa banyak glasier individu yang boleh lenyap setiap tahun sepanjang abad ini.

Walaupun pencairan glasier kecil secara individu mungkin memberi kesan yang lebih rendah terhadap kenaikan paras laut berbanding glasier besar, kehilangannya boleh memberi kesan besar kepada pelancongan atau budaya setempat, menurut para saintis.

“Kehilangan setiap satu glasier boleh membawa kesan besar di peringkat tempatan, walaupun sumbangan air cairannya kecil,” kata  Tricht dari ETH Zurich dan Vrije Universiteit Brussel kepada pemberita.

Seorang lagi pengarang bersama kajian itu, Matthias Huss yang juga ahli glasiologi di ETH Zurich, pernah mengambil bahagian pada 2019 dalam upacara pengebumian simbolik bagi glasier Pizol di Banjaran Alps Switzerland.

“Kehilangan glasier yang kita bincangkan ini bukan sekadar isu saintifik. Ia benar-benar menyentuh perasaan kami,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×