BANGKOK: Ratu wushu negara, Tan Cheong Min membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri apabila membutirkan dua emas buat kontinjen negara dalam hari terakhir sukan itu di Sukan SEA Thailand 2025, semalam.
Atlet kelahiran Melaka itu meraih emas dalam acara nandao selepas mengutip 29.263 mata untuk menewaskan atlet Vietnam, Dang Trang Phuong yang meraih perak dan gangsa milik wakil singapura, Ong Xue Ling.
Dalam aksi berikutnya, Cheog Min yang bergandingan dengan Loh Yin Ting dan Pang Pui Yee turut mengutip emas dalam acara berpasukan duilian bersenjata menewaskan Thailand (perak) dan Myanmar (gangsa).
Menurut Cheong Min, dia terpaksa mengambil ubat tahan sakit ketika beraksi dalam kedua-dua acara berkenaan kerana berdepan kecederaan otot yang serius ketika persiapan ke Sukan SEA Thailand 2025.
“Sebelum datang ke Sukan SEA Thailand, otot saya terkoyak. Doktor mengesahkannya sebagai koyakan gred 2B. Ia boleh dikatakan antara tahap sederhana ke serius.
“Selepas saya habis beraksi dan keluar (dari gelanggang), riak muka saya terus berubah kerana saya dapat rasakan kesakitan itu, walaupun semasa saya sedang membuat persembahan. Jadi, saya terpaksa menahan kesakitan itu. Saya hanya makan ubat tahan sakit sahaja,” katanya.
Menurut atlet berusia 27 tahun itu, kejayaan di Sukan SEA Thailand membuktikan segala usaha dan pengorbanannya dalam sukan wushu berbaloi
“Kejayaan ini bukan datang daripada saya seorang, tetapi daripada ramai orang seperti jurulatih, presiden persatuan, dan juga MSN (Majlis Sukan Negara) serta ISN (Institut Sukan Negara).
“Kerana apabila saya cedera atau perlukan apa-apa bantuan, mereka akan sentiasa membantu. Bantuan inilah yang membolehkan saya fokus sepenuhnya pada latihan,” katanya
Mengulas kejayaannya tahun ini, Cheong Min memaklumkan sepanjang tahun ini dia sudah meraih lapan pingat emas dalam semua kejohanan yang disertai sejak Januari 2025.
Cheong Min juga menyifatkan kejayaan meraih dua pingat emas dan satu perak pada Kejohanan Wushu Dunia ke-17 di Brazil sebagai detik terindah dalam kariernya sepanjang berkecimpung dalam sukan itu.
Secara keseluruhan kem wushu cemerlang di Sukan SEA Thailand 2025 apabila membawa pulang tiga emas, satu perak dan empat gangsa, mengatasi sasaran hanya satu emas. – UTUSAN










