Pembeli berhati-hati elak berbelanja berlebihan 

Pembeli berhati-hati elak berbelanja berlebihan 

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJELANG hujung tahun, tingkah laku pengguna menunjukkan peralihan yang ketara ke arah pembelian strategik, terutamanya dengan kemunculan pelbagai tawaran jualan murah hujung tahun. 

Dalam masa sama, ramai pengguna telah mula membuat perancangan awal untuk persiapan menjelang Ramadan dan Hari Raya pada tahun hadapan.

Corak ini mencerminkan kecenderungan pengguna untuk mengoptimumkan bajet, mengurus keperluan secara terancang serta memanfaatkan promosi yang ditawarkan sebelum berlakunya peningkatan permintaan dalam musim perayaan.

Seorang pekerja swasta, Mohamad Fuad Menhat berkata, dia mengambil peluang membeli-belah secara sederhana ketika tawaran hujung tahun.

“Hal ini kerana saya mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan memerlukan perancangan yang rapi untuk perbelanjaan sekolah, persiapan Ramadan dan menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

“Bagi saya ada tawaran harga yang berbaloi dan ada juga yang tidak masuk akal, sebagai pembeli kita kena melihat harga agar tidak berbelanja secara berlebihan,” katanya.

Nor Farhana Abd Ghafar yang bekerja sendiri pula berkata, dia dan suami telah mempersiapkan baju raya dan kelengkapan sekolah untuk dua anaknya sejak November lagi.

Ujarnya, ini memandangkan tarikh masuk sekolah bermula Januari dan akan sibuk dengan sambutan puasa serta Hari Raya Aidilfitri pada bulan-bulan berikutnya.

“Saya dan suami bekerja sendiri jadi kami perlu berhati-hati dalam merancang perbe­lanjaan, tambahan pula dengan peristiwa penting serta sambutan perayaan yang datang boleh dikatakan serentak.

“Dua anak kami telah bersekolah dan seorang lagi berusia tiga tahun. Kelengkapan sekolah dua anak dan baju raya ketiga-tiga anak sudah kami beli kerana tidak mahu berbelanja lebih dalam masa yang singkat itu nanti,” katanya.

Sementara itu, Azura Ahmad yang juga pekerja swasta berkata, ibu bapa yang mempunyai anak yang masih bersekolah perlu lebih bijak dalam berbe­lanja bagi memenuhi dua keper­luan dalam masa yang sama iaitu persiapan persekolahan dan persiapan Aidilfitri pada awal tahun hadapan.

“Jualan murah hujung tahun di Malaysia sememangnya dinanti-nantikan kerana menawarkan potongan harga melebihi lima peratus, sekali gus membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa.

“Langkah bijak perlu diambil dengan membuat perbandingan harga serta menyediakan persiapan awal bagi merebut peluang penjimatan yang ditawarkan,” katanya. 

Noor Syahrizan Abd Shukor pula berkata, jualan murah dan promosi kelengkapan sekolah pada hujung tahun sangat membantu ibu bapa dalam mencari pakaian dan kelengkapan sekolah dengan harga yang berbaloi.

“Dari segi harga memang agak mahal pada ketika ini. Dengan adanya promosi hujung tahun ini, sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa dalam menjimatkan wang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×