Rancang lebih awal persiapan perayaan

Rancang lebih awal persiapan perayaan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA pembelian impulsif ketika jualan hujung tahun terus menjadi kebimbangan apabila trend itu didapati mendorong pengguna ke arah perbelanjaan boros dan tidak terkawal. 

Tawaran promosi besar-besaran seperti promosi sempena ulang tahun, promosi masa terhad dan beli satu percuma satu didapati menjadi faktor utama yang menggoda pembeli sehingga membuat keputusan tanpa pertimbangan kewangan yang kukuh.

Pensyarah Kanan, Fakulti Eko­nomi dan Muamalat USIM, Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkata, penggunaan kad kredit yang melampaui kemampuan membayar balik kini menjadi gejala yang semakin ketara. 

“Dorongan untuk membeli secara spontan menyebabkan pengguna terperangkap dalam hutang yang menjerut dalam jangka masa panjang. Bebanan hutang ini turut memberi kesan langsung terhadap corak perbelanjaan isi rumah serta boleh menjejaskan kesejahteraan keluarga jika tidak ditangani segera.

“Bagi mengurangkan risiko tersebut, saya menasihatkan pengguna supaya merancang pembelian secara sistematik, termasuk menyenaraikan barangan keperluan sebelum membeli serta mengelakkan godaan membeli barangan di luar senarai. 

“Pengguna juga disarankan menetapkan bajet khusus bagi memastikan perbelanjaan kekal terkawal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menjelang musim Ramadan, sambutan Tahun Baharu Cina, perayaan Aidilfitri, Mohd. Faisol mengesyorkan pengguna merancang lebih awal bagi mengambil kesempatan daripada harga yang lebih stabil pada penghujung tahun. 

“Pembelian barangan keperluan Ramadan dan Syawal pada waktu ini didapati lebih praktikal kerana permintaan masih normal dan harga lebih munasabah.

“Dalam pada itu, penggunaan semula barangan tahun sebelumnya yang masih elok dilihat mampu mengurangkan perbelanjaan isi rumah,” katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya segala persiapan dilakukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu sebelum Syawal bagi mengelakkan kenaikan harga mendadak dan kekurangan stok yang lazim berlaku pada waktu puncak.

“Ketika mengunjungi bazar ramadan, pembeli digalakkan membawa tunai mengikut bajet sahaja untuk mengelakkan pembelian tidak dirancang yang boleh meningkatkan beban kewangan selepas musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pembelian impulsif mestilah dielakkan sepenuhnya dan setiap pembelian haruslah dirancang mengikut kemampuan kewangan dan bukan menurut kata hati. 

Katanya, elakkan dari mengunjungi tawaran jualan sama ada diatas talian mahupun di pusat beli belah.

“Setiap kali promosi hujung tahun dilaksanakan ramai para pengguna akan teruja dengan pelbagai tawaran pihak penjual. 

“Bagi melawan hasrat dan keinginan untuk membeli-belah cukup sukar apabila tawaran istimewa dan ramai yang akhirnya berbelanja melebihi kemampuan pendapatan. Malah pada akhir tahun ini ada pula yang mengeluarkan simpanan dan menambah hutang yang baru seperti kad kredit, pinjaman peribadi dan lebih mudah diperolehi dari skim Beli Dulu Bayar Kemudian (BNPL).

“Yang menambahkan lagi tarikan dari promosi atas talian oleh penyedia platform e-dagang yang begitu agresif terutama dari luar negara melalui media sosial,” katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, perbelanjaan isi rumah untuk empat bulan yang mendatang iaitu dari Disember 2025 hingga Mac 2026, memerlukan susunan yang rapi dan memastikan membeli hanya yang perlu sahaja. 

“Ada pula yang berkata lebih baik membeli pada promosi akhir 2025 untuk persediaan lebih awal bagi menyambut perayaan Tahun Baru Cina dan Aidilfitri, masing-masing pada bulan Februari dan Mac nanti. Ia mungkin strategi yang betul sekiranya perbelanjaan tidak ‘diperbaharui’ semula pada bulan yang sama dan barangan yang sama, terutamanya pakaian, perabot dan peralatan rumah. 

“Hal ini kerana pengguna mungkin tewas bila ada tawaran yang begitu menarik bila tiba perayaan tersebut, jus­teru menyempitkan kewangan mereka tanpa disedari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×