Wanita tersebut melangkah keluar sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat enam. Sempat juga saya kerling ke arahnya. Dia berambut perang paras bahu sambil menggayakan kemeja panjang berwarna hitam. Menyesal pula rasanya kerana saya tidak menyapanya tadi, kalau tidak boleh juga berkenalan dan bertanya tempat kerjanya.
Saya toleh jam di tangan sudah hampir 12.45 malam, sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat sembilan, saya bergegas keluar lantas menyentuh kad pekerja di pintu masuk ke pejabat. Sebaik pintu kaca terbuka, saya meluru ke kabinet kecil yang terletak berhampiran meja untuk mengambil beg berisi komputer riba yang diletakkan di situ.
Selepas selesai urusan, saya kembali ke lif untuk turun ke bawah. Tidak lama menunggu, pintu lif terbuka terus saya bergegas masuk.
Seperti sebelumnya, saya lihat butang di setiap tingkat menyala terang. Saya garu kepala. Jika keadaan sama berlarutan sehingga esok susah juga dibuatnya, maklumlah pekerja di sini ramai, dan lif tersebut bukanlah sebesar mana.
Ketika lif terbuka di tingkat lapan saya tergamam. Wanita yang tadinya naik bersama saya kini muncul sekali lagi di depan mata. Dia melangkah masuk menundukkan kepala. Berdiri tanpa sepatah kata berhampiran saya.
Dalam hati berasa pelik juga kerana setahu saya tadi dia keluar di tingkat enam, tetapi kenapa kini dia muncul di tingkat lapan pula. Otak saya mula berfikir yang bukan-bukan, tetapi saya tidak meneka yang wanita tersebut bukanlah manusia, kerana daripada gaya dan parasnya kelihatan seperti manusia biasa. Mungkin tadi dia tersalah tingkat agaknya.
“Miss tadi tersalah tingkat ke? Tanya saya memberanikan diri menegurnya.
Dia tidak menjawab, tetapi sekadar tersenyum memandang saya.
Saya mati akal. Terasa malu juga kerana sapaan saya tidak berbalas. Saya kembali membalas senyumannya sambil menunggu lif turun ke bawah.
“Huh, apalah masalahnya lif ini, semua tingkat berhenti,” ngomel saya perlahan dengan harapan wanita tersebut mendengar dan membalas apa yang saya perkatakan.
Namun seperti tadi dia hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala. Hilang terus idea saya untuk mendengar kata-kata daripada mulutnya.
Sebaik lif terbuka di tingkat dua, wanita tersebut terus keluar dari lif, waktu itu sempat juga saya jengah mengintai tetapi persekitaran gelap gelita. Ke mana pula agaknya dia pergi, bisik saya dalam hati.
Sebaik sampai di parkir, saya tarik nafas panjang. Rupa-rupanya kunci kereta saya tertinggal di meja ketika ambil komputer sebentar tadi. Geram betul rasanya, tapi hendak salahkan siapa pula, semuanya kerana kecuaian sendiri.
Dengan langkah longlai saya menuju semula ke lif untuk naik semula ke pejabat. Saya terkejut apabila lihat butang lif tidak menyala seperti tadi. Alhamdulillah, lega rasanya! Jika tidak banyak masa saya yang terbuang. Terus saya tekan ke tingkat sembilan untuk menuju semula ke pejabat.
TINGG…
Lif berhenti di tingkat 3A. Saya tergamam! Sekali lagi wanita tersebut muncul masuk ke dalam lif. Waktu itu saya rasa betul-betul tidak sedap hati. Otak mula berfikir yang bukan-bukan apatah lagi bila mengenangkan cerita rakan-rakan sebelum ini.
Saya membatukan diri tanpa sepatah kata. Tubuh berpeluh serta jantung berdegup kencang. Kenapalah waktu ini kunci boleh tertinggal pula, jika tidak tak perlulah saya lalui semua ini.
Waktu itu saya berharap agar lif cepat sampai ke tingkat sembilan. Saya tidak mahu bertanya apa-apa lagi kepadanya kerana tahu ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Tambah pula dia langsung tidak menekan butang tingkat mana yang ingin ditujunya.
Saya jeling sedikit ke arahnya, nampak dia tunduk memandang lantai. Saya jadi tidak keruan dengan jantung yang berdegup kencang.
TINGG…
Sebaik lif terbuka di tingkat sembilan saya terus meluru keluar menuju masuk ke pejabat untuk ambil kunci yang tertinggal. Saya langsung tidak menoleh ke arahnya dan tidak pasti sama ada dia turut keluar atau pun tidak.
Sewaktu menunggu lif untuk turun ke bawah, saya jengah sekeliling. Tidak nampak kelibat wanita tersebut. Saya tarik nafas lega, sebaik sampai di bawah, terus saya ke kereta dan memecut pulang.
Keesokkan harinya setelah selesai urusan di luar, saya masuk ke pejabat seperti biasa. Lantas saya ceritakan kepada rakan-rakan tentang apa yang berlaku malam semalam.
Masing-masing terlopong dengar cerita saya. Dari raut wajah mereka, saya tahu ada sesuatu yang kurang menyenangkan.
“Betul ke apa yang kau cakap ini? Tanya Mustafa inginkan kepastian.
Saya angguk dengan wajah penuh persoalan.
“Kalau kau hendak tahu itulah wanita yang selalu dia orang cerita tu. Wanita itulah yang bunuh diri dari balkoni bilik hotel di tingkat sembilan dulu,” sambung Mustafa dengan wajah pucat.
Kisah saya diganggu menjadi topik perbualan rakan sekerja di pejabat. Masing-masing datang berjumpa saya untuk mengetahui cerita sebenar.
“Lain kali, kau jangan sesekali datang pejabat lewat malam. Nasib baik dia kacau kau macam itu saja, kalau dibuatnya dia tunjuk muka ke, mahu kau pengsan terus,” kata Rizal memberi peringatan.
Saya angguk perlahan. Nasib baiklah sebelum ini mereka tidak bercerita lanjut perihal wanita tersebut, kalau tidak tak ahulah apa jadi, tambah pula bila ia benar-benar menjelma di depan mata. –UTUSAN










