Dalam dunia akademik, kelulusan tanpa pembetulan hampir dianggap mustahil.
Ramai penyelidik terpaksa melalui berminggu, malah kadangkala berbulan-bulan sesi pembetulan sebelum tesis diterima.
Namun, bagi Dr. Hanis Hidayu Kasim, keputusan rasmi yang diterima melalui emel dari Cambridge seolah-olah mimpi yang terlalu indah untuk dipercayai.
Anak kelahiran Klebang Besar, Melaka ini menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) bidang pediatrik di Universiti Cambridge, United Kingdom (UK) dengan pencapaian luar biasa selepas tesisnya diluluskan tanpa sebarang pembetulan.
Beliau membaca emel itu berulang kali, bimbang tersilap faham.
Ketika penyelia sendiri mengesahkan keputusan tersebut betul, barulah beliau sedar ia adalah realiti dan bukan lagi mimpi.
Pada saat itulah, wanita berusia 39 tahun ini dan suaminya, Dr. Mohd. Hanafi Abdull Habir sujud syukur.
Minggu-minggu berikutnya, perasaan tidak percaya itu masih bersisa, seakan-akan tubuhnya masih terperangkap dalam keletihan perjuangan bertahun-tahun dan belum mahu menerima segalanya sudah selesai.
“Semasa saya mula-mula masuk ke universiti itu, memang saya ada dengar orang cakap sangat jarang atau susah untuk dapat tesis tanpa pembetulan.
“Tetapi, saya saya memang niat dari awal untuk cemerlang dalam pengajian ini. Dengarnya, ini (PhD tanpa pembetulan) yang pertama untuk tahun ini,” katanya kepada Seri.
KELUARGA SEDERHANA
Anak bongsu daripada enam beradik ini dibesarkan dalam keluarga yang sederhana.
Bapanya seorang pembaca meter air yang kemudiannya menjadi penyelia.
Ibunya pula seorang suri rumah sepenuh masa yang membesarkan anak-anak dengan nilai rajin dan berdisiplin.
Walaupun hidup sederhana, ibu bapa sentiasa mengingatkan beliau pelajaran adalah tiket paling berharga yang boleh mengubah kehidupan.
“Saya sentiasa cakap saya bukan genius. Cuma, sentiasa berusaha untuk lakukan yang terbaik.
“Saya percaya semua ini juga berkat doa ibu, ayah dan suami,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah Perubatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USIM).
Baginya, kejayaan tidak datang bergolek tanpa usaha dan niat yang betul.
Sejak hari pertama memulakan perjalanan penyelidikan, beliau mendisiplinkan diri dengan penuh tekad.
Setiap strategi diteliti, setiap kelemahan diperbaiki.
Tesis diolah, diperhalusi dan ditambah baik sehingga 110 draf untuk mencapai kata sempurna.
Selain itu, beliau juga menyertai komuniti untuk golongan penyelidik dikenali sebagai DrRoket yang membantunya menulis tesis dengan baik.
“Di bawah bimbingan DrRoket yang mengetuai komuniti lebih 300 penyelidik, saya merasai kekuatan doa dan sokongan yang luar biasa.
“Mereka bukan sekadar mendoakan saya, malah ada yang berpuasa khusus untuk hari viva saya, tanda kasih sayang dan ukhwah yang sulit digambarkan dengan kata-kata,” katanya terharu.
CABARAN TANPA HENTI
Sudah tentu, setiap kejayaan yang datang ada harganya.
Pada awalnya, beliau bergelut dengan dana memandangkan kos PhD di Cambridge mencecah hampir RM1 juta.
Selepas melalui episod permohonan biasiswa yang mengundang banyak debaran, beliau akhirnya ditawarkan biasiswa Cambridge Trust dan Jardine Foundation sekali gus menjadikannya rakyat Malaysia berbangsa Melayu pertama menerima biasiswa tersebut sejak 1990-an.
“Tajaan itu banyak membantu saya semasa tempoh pengajian. Ia menampung semua kos termasuk tiket penerbangan tanpa had tempoh pengajian,” ujarnya.
Begitupun, ujian sebenar hanya bermula di universiti.
Enam bulan pertama, penyelia utama yang menerima beliau ke program tersebut meninggal dunia akibat kanser paru-paru.
Tajuk asal kajian terpaksa diubah dan beliau diminta memulakan semula dengan kajian baharu tentang metabolisme lemak pada bayi pramatang.
“Ia sebuah bidang yang jarang diterokai dan hampir tiada rujukan dalam buku.
“Ketika rakan-rakan seangkatan sudah bergerak jauh dengan data mereka, saya perlu mengumpulkan data dari awal dan bagi saya, ia adalah cabaran paling getir dalam tempoh itu,” kongsinya.
Ujian paling berat datang dalam tahun ketiga pengajian ketika bapanya meninggal dunia.
“Sepatutnya saya balik pada Oktober 2024 tetapi kerana risau kesihatan ayah, saya dan suami buat keputusan untuk pulang awal pada Ogos 2024.
“Saya sempat berkhidmat menjaga ayah di saat-saat terakhirnya dan arwah menghembuskan nafas terakhir ketika saya sedang menjaganya,” katanya.
BANTU BAYI PRAMATANG
Kajiannya yang bertajuk Study of Fat Metabolism and the Interplay with Insulin in Preterm Infants in the First Year of Life menumpukan kepada metabolisme pada bayi pramatang, khususnya bayi yang lahir sebelum 34 minggu kehamilan.
Kumpulan ini dianggap sangat pramatang kerana terlepas sepenuhnya fasa pertumbuhan pesat pada trimester ketiga iaitu tempoh penting untuk pemendapan lemak, perkembangan otak, pembentukan sel saraf dan pertumbuhan keseluruhan.
Dalam kajian itu, beliau mengambil beberapa jenis sampel dan data klinikal.
Darah diambil pada empat waktu berbeza untuk mengekstrak komponen lemak bagi melihat profil lipid secara terperinci.
“Selain itu, kami menggunakan alat pemantauan glukosa berterusan untuk memahami pola kawalan gula dalam darah bayi pramatang. Perkembangan klinikal dan pertumbuhan bayi juga dipantau sepanjang tempoh kajian.
“Hasil analisis menunjukkan terdapat spesies lemak yang berbeza antara bayi matang dan bayi pramatang. Lebih penting, perbezaan ini kekal sehingga 12 bulan pertama kehidupan.
“Ini menimbulkan persoalan penting sama ada bayi pramatang perlu ditambah kandungan lemaknya seawal lahir atau perlu diteruskan sehingga 12 bulan untuk menampung kekurangan yang dialami?,” jelasnya
Kajian ini bukan sahaja menuntut usaha saintifik, tetapi kesabaran emosi yang sangat besar.
Beliau perlu mendapatkan persetujuan keluarga bayi yang ditempatkan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU), perlu mengambil darah, memasang alat pemantauan gula secara berterusan dan memantau perkembangan bayi-bayi tersebut.
Daripada 430 keluarga yang ditemuinya, hanya 73 bersetuju.
Bagi melengkapkan angka itu, beliau mengambil masa setahun lapan bulan.
Ketika orang lain hanya memerlukan tiga atau empat bulan, beliau berjuang hampir dua tahun.
Namun setiap kali hampir mengalah, beliau memikirkan bayi-bayi pramatang itu.
“Saya tidak mahu kecewakan bayi dan keluarga mereka yang sudah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada kajian ini.
“Lagi pula, kajian membabitkan bayi pramatang sangat penting kerana ia akan menentukan tumbesaran sekali gus masa hadapan mereka,” katanya.
Tambahnya, kajian itu amat penting kerana lemak memainkan peranan kritikal dalam perkembangan otak, sel dan sistem saraf.
Kekurangan bekalan lemak tertentu pada awal kehidupan boleh memberi kesan jangka panjang.
Terdapat kajian lain yang menunjukkan kanak-kanak yang lahir pramatang dan tidak mendapat sokongan nutrisi awal yang mencukupi lebih berisiko mengalami masalah kognitif seperti kelemahan dalam menyelesaikan masalah matematik ketika di sekolah.
Apabila dewasa pula, risiko mendapat kencing manis dan tekanan darah tinggi meningkat sehingga dua kali ganda berbanding individu yang lahir cukup bulan.
Kajian itu berkait rapat dengan konsep 1,000 hari pertama kehidupan, iaitu tempoh kritikal yang menentukan kesihatan sepanjang hayat.
Justeru, apabila penyakit kronik dapat dikurangkan, rakyat menjadi lebih sihat, negara lebih produktif dan beban kos perubatan dapat diringankan dengan ketara.
GIGIH MENUNTUT ILMU
Sejak di awal usia, wanita ini sangat mencintai ilmu.
Walaupun kadangkala berdepan dengan halangan dan cabaran, kegigihannya menuntut ilmu tidak pernah pudar.
Baginya, ilmu bagaikan sebuah padang yang luas untuk diteroka.
Perjalanan akademiknya bermula di Universitas Andalas, Padang, Indonesia pada tahun 2005.
Empat tahun hidup sebagai pelajar perubatan di negara orang memberi pengalaman yang mendidik jiwa.
Tetapi, gempa bumi besar pada 2009 mengubah segala perancangan.
Pelajar Malaysia terpaksa kembali ke tanah air dan apabila silibus tidak sepadan, mereka terpaksa ‘berpatah balik’ setahun bagi menyelaraskan pelajaran.
Beliau kemudian meneruskan pengajiannya di Universiti Cyberjaya selama tiga tahun lagi dan akhirnya berjaya menggenggam ijazah kedoktoran selepas tujuh tahun bertungkus-lumus.
Selepas tamat pengajian, beliau menjalani latihan klinikal (housemanship) di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu selama dua tahun.
Seterusnya, menabur bakti di Klinik Kesihatan Batu Rakit sebelum hatinya perlahan-lahan tertarik kepada penyelidikan dan pendidikan.
Pada pertengahan 2016, ibu kepada seorang cahaya mata ini mengambil keputusan meninggalkan Kementerian Kesihatan dan menjadi pensyarah perubatan di USIM sebelum melanjutkan PhD di UK.
Kini, beliau bercadang meletakkan tesis tersebut di Perpustakaan USIM dan Perpustakaan Negara untuk teruskan sumbangan dalam bidang kajian selain menghubungkan antara kajian saintifik dan intervensi perubatan.-UTUSAN










