KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti penambahbaikan skim perjawatan bagi memastikan kebajikan 36,500 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) terus diperkukuh.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama agensi pelaksana KAFA negeri, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam kini mengadakan sesi libat urus bagi merangka model perjawatan yang lebih teratur.
“Ini termasuk kemungkinan pelaksanaan perjawatan secara kontrak yang lebih tersusun dan hampir menyamai struktur perjawatan tetap pada masa hadapan.
“Perbezaan ketara jadual operasi KAFA antara negeri sama ada tiga, empat atau lima hari seminggu yang menjadikan penelitian menyeluruh diperlukan sebelum kerajaan dapat melakukan sebarang penyelarasan skim perjawatan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Dr. Jufitri Joha mengenai perancangan kerajaan untuk menyerap guru KAFA kepada status tetap.
Zulkifli berkata, jumlah guru KAFA ditambah daripada 35,000 kepada 36,500 tahun ini dengan setiap guru menerima elaun RM1,100 sebulan.
Mengulas kebajikan guru KAFA, Zulkifli berkata, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah termasuk menambah kuota 1,500 guru baharu tahun ini, Bantuan Khas Kewangan RM500 serta Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM250.
“Selain itu, turut disediakan caruman majikan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
“Selain itu, manfaat cuti rehat khas, cuti sakit, cuti tanpa rekod serta kelayakan elaun penuh apabila sesi KAFA bertepatan dengan cuti umum, cuti persekolahan, cuti peristiwa, kuarantin dan beberapa cuti lain,” katanya. – UTUSAN










