Lindungi warga emas daripada penipuan digital

Lindungi warga emas daripada penipuan digital

KITA perlu memastikan warga emas tidak ketinggalan dalam perjalanan digital negara dalam membina masyarakat yang lebih selamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENIPUAN dalam talian kini semakin berleluasa di negara kita. Setiap hari, ada sahaja laporan tentang warga emas yang menjadi mangsa penipuan melalui panggilan palsu, mesej yang meyakinkan atau tawaran pelaburan yang kononnya menjanjikan pulangan pantas. Malangnya, mereka kini semakin menjadi sasaran kerana lebih mudah percaya dan kurang pendedahan terhadap cara penipuan moden beroperasi.

Hari ini, penipuan disusun secara halus dengan skrip yang lancar, menyerupai urusan rasmi. Ada yang menyamar sebagai pegawai mahkamah, petugas kesihatan atau wakil agensi kerajaan. Tidak kurang juga yang menggunakan pendekatan mesra seperti menghantar kad kahwin digital palsu kononnya daripada kenalan lama. Mangsa diminta klik pada pautan dan apabila ini berlaku, maklumat peribadi mereka dicuri atau telefon digodam.

Justeru, penting untuk kita sebagai anak, cucu dan ahli keluarga mendekati warga emas dengan lebih kerap. Luangkan masa untuk berbual setiap hari, walaupun sekejap. Perbualan ringkas sebegini mampu menjadi perlindungan awal. Ingatkan mereka agar tidak berkongsi maklumat bank, terangkan bahawa tiada agensi akan meminta nombor OTP dan paling utama, pesan supaya segera tamatkan panggilan jika terasa takut atau tertekan. Jika perlu, bantu mereka menyekat nombor yang mencurigakan.

Peranan pihak bank dan agensi kerajaan juga amat penting. Kempen keselamatan digital perlu disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami, bukan sekadar poster bergrafik tinggi atau sarat dengan istilah teknikal. Warga emas memerlukan mesej yang jelas, langsung dan disertakan contoh penipuan sebenar supaya mereka dapat mengenal pasti taktik jenayah siber.

Komuniti setempat turut boleh menyumbang melalui perkongsian ringkas dan santai di masjid, surau atau dewan komuniti. Satu sesi selama satu jam pun sudah mencukupi jika disampaikan secara mesra. Ajar mereka cara mengenal nombor palsu, menyemak maklumat rasmi serta berikan senarai nombor penting agar mereka tidak mudah percaya kepada panggilan rawak.

Keselamatan warga emas adalah tanggungjawab bersama. Kita perlu ingat mereka ini pernah menjaga generasi kita dengan sabar dan tekun. Kini tiba masa untuk kita pula menjaga mereka. Dunia digital memang penuh cabaran tetapi warga emas tidak harus menanggung risiko itu bersendirian. Dengan sokongan keluarga, komuniti dan pihak berkuasa, mereka boleh menjalani hidup yang lebih tenang dan yakin.

Melindungi warga emas daripada penipuan bukan sekadar usaha teknikal tetapi juga soal empati dan perhatian. Setiap panggilan yang kita jawab untuk mereka, setiap mesej yang kita bantu jelaskan dan setiap peringatan yang kita ulang mungkin nampak kecil. Namun bagi mereka, tindakan itu boleh menjadi penyelamat yang besar.

Dalam membina masyarakat yang lebih selamat, kita perlu memastikan warga emas tidak ketinggalan dalam perjalanan digital negara. Dengan kasih sayang dan pendidikan yang berterusan, mereka juga mampu menikmati teknologi tanpa perlu hidup dalam ketakutan terhadap panggilan yang tidak dikenali. Penipuan akan sentiasa wujud dalam pelbagai bentuk tetapi jika kita saling melindungi, risiko itu boleh dikurangkan bersama.-UTUSAN

SYED AZAMAN SYED ISMAIL
Pelajar pascasiswazah
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×