PETALING JAYA: Lelaki yang ditemukan maut di balkoni dalam kejadian kebakaran di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas pagi tadi dipercayai tinggal bersendirian.
Mangsa berusia 38 tahun dan bekerja sebagai pelukis tinggal di kondominium itu sejak 2021.
Ketua Polis Daerah Brickfielbds, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, mangsa belum berkahwin dan kali terakhir berhubung dengan keluarganya pada 6 Disember lalu.
“Dia kali terakhir menghubungi keluarganya pada pukul 1 tengah hari Sabtu lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, lelaki berkenaan ditemukan di bahagian balkoni dalam keadaan melecur 100 peratus dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pada mulanya satu panggilan kecemasan diterima melalui sistem NG999 berhubung kebakaran itu pada pukul 10.46 malam.
Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas bersama BBP Menjalara, BBP Sentul dan BBP Taman Tun Dr. Ismail digerakkan ke lokasi kejadian.
Setiba di tingkat 26 bangunan berkenaan, pasukan mendapati sebuah unit sedang marak terbakar.
Operasi pemadaman dan penyelamatan dimulakan serta-merta namun berdepan kesukaran berikutan sistem pencegah kebakaran bangunan didapati tidak berfungsi dengan baik.
Anggota bomba terpaksa menggunakan dua pam angkut serta pam jentera bagi menyalurkan air ke unit terbabit. – UTUSAN










