PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas, terbakar, awal pagi tadi.
Lelaki berkenaan ditemukan di bahagian balkoni dalam keadaan melecur 100 peratus dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pada mulanya satu panggilan kecemasan diterima melalui sistem NG999 berhubung kebakaran itu.
Susulan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas bersama BBP Menjalara, BBP Sentul dan BBP Taman Tun Dr. Ismail digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di tingkat 26 bangunan berkenaan, pasukan mendapati sebuah unit sedang marak terbakar.
“Operasi pemadaman dan penyelamatan dimulakan serta-merta namun berdepan kesukaran berikutan sistem pencegah kebakaran bangunan didapati tidak berfungsi dengan baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, anggota bomba terpaksa menggunakan dua pam angkut serta pam jentera bagi menyalurkan air ke unit terbabit.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.03 pagi melibatkan keluasan kira-kira 1,500 kaki persegi dengan kemusnahan 100 peratus.
“Punca kejadian sedang disiasat Unit Forensik Bomba,” jelasnya. – UTUSAN










