DOHA: Hamas bersedia mempertimbangkan ‘pembekuan’ penggunaan senjata sebagai pertukaran kepada gencatan senjata jangka panjang di Gaza, namun tetap menolak tuntutan perlucutan senjata sepenuhnya seperti yang digariskan dalam pelan damai tajaan Amerika Syarikat (AS).
Pemimpin kanan Hamas, Khaled Meshaal, dalam wawancara bersama saluran Al Jazeera berkata, desakan antarabangsa untuk kumpulan itu melucutkan semua senjata adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.
“Cadangan yang dibincangkan bukan perlucutan senjata, tetapi pembekuan atau penyimpanan senjata sebagai jaminan bahawa tiada eskalasi ketenteraan dari Gaza terhadap pendudukan Israel,” katanya.
Menurut Meshaal, Hamas kini sedang meneliti cadangan itu bersama para perantara, sambil menyatakan keyakinan bahawa “pendekatan pragmatik AS” boleh membuka jalan kepada persetujuan lebih menyeluruh dengan Washington.
Gencatan senjata yang ditaja AS sejak 10 Oktober itu telah menamatkan perang yang tercetus selepas serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023. Namun, keadaan kekal rapuh apabila Israel dan Hamas saling menuduh pihak lain melanggar perjanjian hampir setiap hari.
Perjanjian damai tersebut mengandungi tiga fasa. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, baru-baru ini memberi bayangan bahawa ia hampir memasuki fasa kedua, yang menyaksikan tentera Israel berundur lebih jauh dari Gaza dan digantikan oleh pasukan penstabil antarabangsa (ISF), manakala Hamas dikehendaki meletakkan senjata.
Bagaimanapun, Hamas menyatakan bahawa menyerahkan keseluruhan arsenal mereka bukan sesuatu yang boleh dipertimbangkan. “Perlucutan senjata bagi rakyat Palestin ibarat melucutkan jiwa mereka. Kita perlu mencari jalan lain,” kata Meshaal.
Dalam fasa pertama, pejuang Palestin telah berjanji membebaskan 48 tawanan terakhir yang berada dalam tahanan Hamas. Setakat ini, semua telah dibebaskan kecuali satu mayat, manakala Israel pula telah melepaskan hampir 2,000 tahanan Palestin serta memulangkan ratusan mayat rakyat Palestin yang terbunuh.
Menyentuh mengenai cadangan penempatan pasukan keamanan antarabangsa, Meshaal berkata Hamas bersedia menerima kehadiran pasukan tersebut di sepanjang sempadan Gaza-Israel, seperti model UNIFIL di Lubnan, namun menolak sebarang rancangan untuk menempatkan tentera asing di dalam wilayah Palestin.
Beliau turut menegaskan negara perantara serta negara Arab dan Islam boleh bertindak sebagai penjamin bagi mengelakkan sebarang eskalasi dari Gaza.
“Ancaman sebenar datang daripada entiti Zionis, bukan daripada Gaza,” katanya.










