KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan notis permohonan baharu hari ini bagi mendapatkan perintah mahkamah untuk melucuthak harta yang dikaitkan dengan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin.
Bagaimanapun, butiran mengenai harta yang dipohon untuk dilucuthak tidak dapat didedahkan kerana keluarga Daim telah memperoleh perintah larangan bersuara sementara (gag order) yang menghalang pendedahan sebarang maklumat berkaitan aset tersebut sehingga tarikh sebutan kes akan datang.
Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya M. Esther Jacyntha.
Ini merupakan permohonan kali kedua yang difailkan SPRM terhadap keluarga Daim selepas permohonan untuk melucut hak Menara Ilham pada 25 Jun lalu di bawah Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).
Semasa prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, peguam Nizamuddin Abdul Hamid memaklumkan kepada mahkamah, pihaknya akan memohon perintah larangan terhadap sebarang perkongsian maklumat sensitif yang boleh menjejaskan anak guamnya.
Beliau yang mewakili keluarga Daim berkata, perintah tersebut melibatkan larangan menyiarkan nama individu, nombor akaun bank, dan maklumat lain yang bersifat peribadi.
“Kami mohon maklumat tersebut tidak didedahkan kerana melibatkan hak peribadi anak guam berkaitan maklumat sensitif seperti nama individu, nama bank, nombor akaun dan jumlah wang dalam akaun tersebut. Namun, pelaporan mengenai prosiding dibenarkan,” kata peguam itu.
Hakim Rosli Ahmad membenarkan perintah larangan sementara dan menetapkan 4 Februari bagi sebutan untuk pihak ketiga yang mempunyai kepentingan hadir ke mahkamah.
Menurut notis usul yang difailkan pada 28 November lalu, SPRM memohon perintah daripada mahkamah untuk melucut hak harta terbabit.
Menurut notis itu, pendakwa raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah telah berpuas hati bahawa harta itu yang telah disita oleh SPRM, dilucuthak, di mana tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta berkenaan.
Ia juga menyatakan bahawa harta terbabit adalah berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah seksyen 36(2) Akta SPRM berkaitan dengan kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan untuk mengisytiharkan harta.
Sementara itu, Nizamuddin dalam kenyataan berkata, sama seperti pelucuthakan sebelum ini, permohonan tersebut tidak menyatakan sebarang kesalahan yang didakwa dilakukan di bawah Akta SPRM 2009 atau mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan.
Namun, beliau berkata, pertuduhan tersebut adalah berkaitan ketidakpatuhan terhadap tatacara siasatan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.
“Siasatan terhadap keluarga Allahyarham Daim dimulakan oleh pihak berkuasa sejak 2023.
“Setelah hampir tiga tahun, masih tiada sebarang jawapan di sebalik usaha anak guam kami untuk mendapatkan penjelasan secara terbuka mengenai pelbagai usaha menyasarkan anak guam kami dan ahli keluarga beliau,” katanya.
Nizamuddin berkata, anak guamnya berharap agar mereka tidak lagi menjadi sasaran salah guna kuasa orang badan penguatkuasaan apabila timbulnya sebarang isu yang berkait dengan kerajaan.
“Anak guam kami percaya sebarang salah guna kuasa atau tindakan untuk mengalih perhatian rakyat Malaysia daripada isu sebenar kepimpinan negara adalah satu pembaziran wang rakyat, masa penjawat awam dan juga mahkamah,” katanya. – UTUSAN










