Dusit Princess Melaka perkenal kemudahan MICE baharu

Dusit Princess Melaka perkenal kemudahan MICE baharu

RICHARD SUTER (tengah) bersama barisan Ketua Jabatan baharu Dusit Princess Melaka pada Majlis Beyond Business: A MICE Showcase di hotel itu baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dusit Princess Melaka yang diuruskan Dusit International memperkenalkan kemudahan mesyuarat baharu yang dinaik taraf bagi menyokong aspirasi Melaka dalam memperkukuh pasaran acara perniagaan (MICE) serantau.

Ini sekali gus memposisikan negeri itu sebagai alternatif strategik kepada bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang bagi penganjuran acara korporat berskala sederhana dan program insentif.

Pengurus besarnya, Richard Suter berkata, Melaka sedang memasuki fasa penting apabila permintaan terhadap kemudahan mesyuarat dan perjalanan korporat terus meningkat.

“Penganjur kini mencari lokasi baharu di luar bandar besar yang menawarkan nilai lebih baik, akses mudah dan pengalaman budaya.

“Justeru, peningkatan fasiliti serta kekuatan pasukan pengurusan meletakkan Dusit Princess Melaka pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan pasaran dan menyokong kesiapsiagaan Melaka menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada satu sesi tinjauan MICE bersama media baru-baru ini.

Dusit Princess Melaka menampilkan semula Bilik Bendahara dan ruang acara di tingkat tujuh yang melalui proses pembaharuan, termasuk reka bentuk dalaman lebih segar, sistem akustik dipertingkatkan, kemudahan audiovisual moden dengan skrin LCD terbina dalam, serta ruang legar lebih luas untuk pelbagai format mesyuarat.

Memiliki keluasan 774 meter persegi dan kapasiti sehingga 1,000 tetamu, dewan utama hotel itu menjadi pusat kepada rangkaian ruang mesyuarat fleksibel merangkumi keseluruhan 12 bilik fungsi.

Ia termasuk bilik serbaguna untuk sesi pecahan, serta ruang legar selesa bagi aktiviti pra-acara, pameran dan majlis sambutan.

Kelengkapan teknikal dan sokongan operasi yang disediakan membolehkan penganjuran acara berbilang hari dijalankan dengan lebih cekap dan lancar, selari dengan keperluan mesyuarat korporat moden.

Langkah tersebut juga seiring perkembangan pesat sektor acara perniagaan negara yang berpotensi menjana sehingga RM76.8 bilion serta menarik lebih 25 juta pengunjung dalam beberapa tahun akan datang, menjadikan Melaka semakin relevan sebagai destinasi berorientasikan nilai, budaya dan kebolehcapaian bagi penganjur MICE domestik dan serantau.

Terletak di tengah Bandar Warisan Dunia UNESCO, lokasi hotel itu turut memberikan nilai tambah kepada penganjur yang ingin menggabungkan agenda perniagaan dengan pengalaman budaya tempatan.

Pada sesi tinjauan itu turut menggariskan strategi lebih menyeluruh Dusit International di Asia Tenggara, termasuk pembukaan hotel ASAI Gamuda Cove serta peluasan portfolio fasiliti MICE di Thailand, Vietnam dan Filipina.

Ini turut merangkumi pembukaan semula Dusit Thani Bangkok, hotel perdana kumpulan itu yang melalui proses pengubahsuaian penuh dan meraih pengiktirafan Michelin Key.

Selain itu, hotel itu juga memiliki Dusit Gold, program kesetiaan untuk pelanggan setia dan korporat yang menawarkan manfaat seperti daftar masuk awal, daftar keluar lewat, kadar keutamaan, penjimatan hidangan serta kemudahan Padanan Status.

Sementara itu, pertumbuhan perjalanan domestik yang meningkat kepada 260.1 juta perjalanan pada 2024, iaitu lonjakan 21.7 peratus tahun ke tahun, terus merangsang permintaan terhadap program percutian korporat, mesyuarat syarikat berskala besar serta konsep penginapan dwifungsi perniagaan dan santai di negeri berkenaan.

Dusit Princess Melaka juga baru-baru ini menerima dua pengiktirafan di International Business Magazine Awards 2025, masing-masing bagi kategori Hotel Terbaik untuk Penginapan Korporat Malaysia dan Kecemerlangan dalam Hospitaliti Serantau.

Suter yang baharu dilantik ke jawatan itu berkata, sesi tinjauan MICE tersebut membuktikan kesiapsiagaan hotel dalam memenuhi keperluan pasaran yang terus berkembang.

“Ini sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan berterusan Melaka sebagai destinasi acara perniagaan yang berdaya saing dan beridentiti budaya unik.

“Kami amat teruja untuk menyambut rakan niaga dan tetamu media bagi merasai pengalaman ini secara langsung, serta bekerjasama erat dengan mereka untuk mengukuhkan kedudukan Melaka di peta MICE serantau,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×