KUALA LUMPUR: Pelaburan berpotensi bernilai RM4.5 bilion kini berada dalam pelbagai peringkat perbincangan dan pelaksanaan ekoran peningkatan minat pelabur India terhadap peluang dalam sektor berteknologi tinggi di Malaysia hasil lawatan rasmi Perdana Menteri ke India.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, Malaysia berjaya menarik minat pelabur India untuk meneroka peluang pelaburan baharu dalam sektor berteknologi tinggi, pembuatan bernilai tambah serta perkhidmatan termaju susulan lawatan Perdana Menteri ke India pada tahun lalu.
Katanya, sehingga kini, dua daripada tiga projek telah diluluskan melibatkan sektor farmaseutikal dan kimia.
“Berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh 1980 sehingga September 2025, projek perkilangan yang direalisasikan setakat Jun 2025 dengan penglibatan India berjumlah RM4.88 bilion.
“Ia melibatkan 176 projek merentasi pelbagai industri termasuk farmaseutikal, peranti perubatan, kimia dan produk kimia, fabrikasi logam, oleokimia serta jentera dan peralatan. Pelaburan ini telah mewujudkan lebih 16,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri Vell Paari Tun Samy Vellu mengenai sejauh manakah pelaburan yang dimeterai Malaysia dan India telah berjalan serta impak terhadap Malaysia khususnya pelaburan syarikat gergasi dari India susulan lawatan Perdana Menteri ke negara tersebut tahun lalu.
Chin Tong berkata, pada 2024, MIDA meluluskan 10 projek pelaburan bernilai RM298.45 juta dengan penglibatan India merangkumi industri strategik seperti petrokimia, produk kimia serta mesin dan peralatan, selaras dengan agenda perindustrian negara di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Beliau berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, lima projek bernilai RM23.85 juta turut diluluskan dijangka mewujudkan lebih 270 peluang pekerjaan baharu.
Katanya, susulan lawatan Perdana Menteri, satu Misi Pelaburan dan Perdagangan ke India diadakan pada 2025 sebagai langkah proaktif memastikan kesinambungan kerjasama ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur India terhadap Malaysia.
“Misi ini merangkumi sesi mesyuarat meja bulat bersama kapten industri India serta pertemuan dengan Federation of Indian Chambers of Commerce and Industry (FICCI) bagi membincangkan peluang perluasan perdagangan dan kerjasama pelaburan yang memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia–India.
“Malaysia kini juga dalam proses memeterai Memorandum of Cooperation (MoC) dengan India dalam bidang semikonduktor sebagai usaha membina rantaian nilai industri semikonduktor yang lengkap dan berdaya tahan.
“Pada masa sama, Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (ASEM) telah memeterai kerjasama strategik dengan Indian Institute of Technology Madras (IIT Madras Global) untuk meneroka projek berimpak tinggi yang memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekosistem teknologi global,” katanya. – UTUSAN










