Spesifikasi tinggi kit ujian influenza elak disalah guna

Spesifikasi tinggi kit ujian influenza elak disalah guna

LUKANISMAN AWANG SAUNI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) menetapkan spesifikasi ketat bagi kit ujian kendiri influenza supaya tidak disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kit ujian kendiri influenza memerlukan perhatian serius kerana terdapat kebimbangan ia digunakan secara tidak wajar.

“Sebagai contoh, kit berkenaan boleh digunakan oleh individu untuk mendakwa positif influenza bagi tujuan mengelak kerja atau cuti.

“Sehubungan itu, MDA sedang meneliti dan mengkaji kit terbaik yang sesuai untuk digunakan dan dipasarkan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Dr. RA Lingeshwaran mengenai kelulusan kit ujian kombinasi Covid-19 dan influenza oleh badan pengawal selia antarabangsa seperti FDA Amerika Syarikat (AS) serta ingin mengetahui sama ada MDA menetapkan keperluan teknikal tertentu atau adakah tahap sensitiviti dan kekhususan yang ditetapkan di Malaysia lebih tinggi berbanding tanda aras antarabangsa FDA.

Sementara itu, Lukanisman berkata, penggunaan kit ujian kendiri influenza setakat ini tidak digalakkan kerana keputusan yang diperoleh kurang tepat.

Katanya, keutamaan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah menggunakan sampel melalui calitan hidung (nasal swab) atau darah yang memberikan keputusan lebih jitu.

“Kos setiap kit ujian kendiri adalah sekitar AS$20 hingga AS$30 dan dianggap agak mahal. Walaupun penggunaan kit kendiri tidak dikawal oleh KKM pada masa ini, KKM masih menilai kaedah terbaik untuk mendapatkan kit lebih tepat bagi kegunaan masa hadapan. 

“Penggunaan calitan hidung di fasiliti dan makmal KKM ketika ini adalah yang paling efektif,” katanya.

Mengulas mengenai vaksin influenza, Lukanisman berkata, fokus KKM adalah kepada golongan berisiko tinggi termasuk warga emas. 

“Setakat ini, sebanyak 160,000 dos vaksin influenza telah diberikan daripada 170,000 dos yang disediakan. Klinik Kesihatan Parlimen juga menyediakan vaksin influenza kepada ahli-ahli Dewan yang berminat.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Azahar Hassan mengenai cara orang awam mendapatkan ujian influenza dengan kos lebih rendah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×