RM28.65 juta tingkatkan infrastruktur bekalan air Perlis - Utusan Malaysia

RM28.65 juta tingkatkan infrastruktur bekalan air Perlis

MOHD. Shukri Ramli membentangkan Belanjawan Perlis 2026 di Kompleks Seri Putra, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/ADIB AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dalam usaha meningkatkan infrastruktur bekalan air di Perlis, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM28.65 juta bagi projek mitigasi air jangka sederhana dan bekalan air terawat.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, projek mitigasi air jangka sederhana melibatkan projek menaik taraf pam air mentah dan pam air bersih bertekanan tinggi di loji rawatan air fasa I, II dan III serta ‘intake’ Guar Sanji dan program peningkatan bekalan air terawat di loji rawatan air Timah Tasoh dengan peruntukan sebanyak RM26.6 juta.

“Sebanyak RM2.05 juta diperuntukkan kepada pelaksanaan projek bekalan air terawat meliputi projek menaik taraf sistem tekanan air, membaik pulih sistem pam dan kerja-kerja penggantian serta pemasangan paip air baharu. Kerajaan negeri juga memperuntukan RM488,000 bagi kerja baik pulih sistem tangki dan bekalan air di Taman Seberang Jaya Kuala Perlis,” katanya di sini semalam.

Katanya, berikutan bencana banjir besar yang melanda Perlis baru-baru ini, tumpuan juga diberikan kepada usaha memperkukuh infrastruktur pengairan dan saliran sebagai langkah meningkatkan daya tahan negeri menghadapi cabaran cuaca ekstrem.

Ujarnya, banjir yang berlaku bukan sahaja dianggap antara terburuk, malah telah menjejaskan kehidupan seharian penduduk di beberapa kawasan seperti Wang Kelian, Padang Besar, Arau dan Kangar.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri memberi penekanan khusus terhadap usaha memperkasakan infrastruktur pengairan dan saliran bagi memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara tersusun dan berdaya tahan.

“Sebanyak RM10.45 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan beberapa projek strategik yang dirangka untuk meningkatkan ketahanan negeri terhadap bencana, melindungi kepentingan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi sektor pertanian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN