HUJAN yang turun dengan lebat serta fenomena cuaca melampau sering memberikan kesan yang ketara terhadap keadaan jalan raya di Malaysia.
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), hujan dan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan adalah di antara punca utama kerosakan jalan di seluruh negara.
Kajian Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri menunjukkan bahawa ketika hujan lebat atau banjir berlaku, aliran air yang deras serta kawasan bertakung boleh menyebabkan hakisan pada permukaan jalan mengakibatkan aspal atau lapisan asas terjejas hingga menimbulkan lubang atau rekahan. Natijahnya, jalan yang rosak, tidak rata atau berlubang mampu meningkatkan risiko kemalangan kepada pengguna jalan raya sekiranya tidak berhati-hati.
Perlembagaan Persekutuan telah menggariskan punca kuasa kerajaan persekutuan dan negeri dalam menjamin aspek perhubungan, pengangkutan dan jalan dapat digunakan oleh rakyat dengan selamat.
Kegagalan dalam aspek pembaikan jalan raya dengan segera akan memberi implikasi besar termasuk meningkatkan kadar kemalangan, menyulitkan pergerakan logistik dan pengguna serta menjejaskan aktiviti ekonomi masyarakat.
Penambahan kos juga akan berlaku apabila kerosakan jalan dibiarkan terlalu lama. Kerajaan terpaksa membaik pulih dan menaik taraf jalan raya yang semakin rosak.
Secara tidak langsung, ini akan memberikan tekanan kewangan kepada kerajaan dan menambah beban kepada rakyat.
Justeru, pelaksanaan penyelenggaraan berkala perlu dibuat sebelum negara menerima taburan hujan berterusan dalam masa terdekat. Tindakan proaktif kerajaan persekutuan dan negeri adalah sangat diperlukan demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. – UTUSAN
DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN
Pengerusi Program Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (BPLB), Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia










