Gempa 7.5 Richter cetus tsunami kecil di Jepun - Utusan Malaysia

Gempa 7.5 Richter cetus tsunami kecil di Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Gempa bumi kuat berukuran 7.5 skala Richter menggegarkan wilayah timur laut Jepun semalam, mencederakan lebih 20 orang serta mencetuskan ombak tsunami kecil setinggi sehingga 70 sentimeter (cm) di beberapa kawasan sepanjang pantai Pasifik.

Berikutan gegaran itu, pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan kepada kira-kira 90,000 penduduk bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Namun, amaran tsunami yang pada awalnya dikeluarkan untuk wilayah Hokkaido, Aomori dan Iwate kemudiannya diturunkan kepada paras berjaga-jaga selepas keadaan kembali stabil.

Agensi Meteorologi Jepun memaklumkan ombak tsunami setinggi antara 20 hingga 70cm dikesan di beberapa pelabuhan, termasuk 70 sentimeter di Pelabuhan Kuji di Iwate dan sehingga 50 sentimeter di kawasan pesisir lain.

Pusat gempa dikenal pasti terletak kira-kira 80 kilometer di luar pantai wilayah Aomori.

Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana pula mengesahkan 23 orang cedera, termasuk seorang parah akibat objek jatuh.

NHK melaporkan beberapa mangsa cedera di sebuah hotel di Hachinohe, manakala seorang lelaki di Tohoku terjatuh ke dalam lubang ketika memandu.

Di Hachinohe, kira-kira 480 penduduk berlindung di pangkalan udara kawasan itu, manakala 18 helikopter pertahanan digerakkan untuk menilai kerosakan, menurut kenyataan Menteri Pertahanan, Shinjirō Koizumi.

Di Hokkaido, kira-kira 200 penumpang terkandas semalaman di Lapangan Terbang New Chitose selepas operasi terganggu akibat gegaran.

Gegaran itu direkodkan pada tahap ‘atas enam’ pada skala intensiti seismik Jepun, iaitu kekuatan yang menyebabkan seseorang tidak mampu berdiri tegak serta berisiko menumbangkan perabot berat serta merosakkan jubin dinding dan cermin tingkap.

Beberapa perkhidmatan kereta api oleh East Japan Railway turut digantung sebagai langkah keselamatan.

Sementara itu, syarikat utiliti Tohoku Electric Power dan Hokkaido Electric Power memaklumkan tiada sebarang masalah dilaporkan di loji tenaga nuklear yang mereka kendalikan, namun ribuan kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×