BANGKOK: Kontinjen negara diyakini mampu menyumbangkan lebih banyak pingat dalam dua acara utama Sukan SEA 2025 yang menawarkan ‘lubuk pingat’ menerusi akuatik dan olahraga.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, pihaknya telah bekerja keras untuk memperkasa sukan akuatik terutama dalam acara renang selepas membawa masuk kepakaran luar.
Katanya, Langkah berkenaan diambil bagi mengukuhkan program pembangunan sukan tersebut selepas ketinggalan jauh dengan negara-negara Asia Tenggara lain seperti Singapura, Vietnam mahupun Indonesia yang terus menuai pingat emas.
“Untuk renang, kita sudah lantik Pengarah Teknikal daripada AS (Amerika Syarikat), kita juga lantik dua jurulatih berprestasi tinggi dari Kanada. Hasilnya kita nampak banyak peningkatan.
“Malaysia juga tidak lagi meletakkan harapan sepenuhnya kepada jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean kerana terdapat lagi kemunculan perenang berbakat dan mampu menyumbang pingat buat kontinjen negara nanti,” jelasnya.
Pada Sukan SEA Kemboja 2023, Singapura membolot 22 emas daripada 39 acara renang yang dipertandingkan, manakala Malaysia hanya membawa pulang satu emas menerusi Hoe Yean dalam acara 200 meter gaya bebas.
Untuk olahraga pula, Jefri berkata, perubahan kepimpinan dalam Olahraga Malaysia (MA) termasuk pelantikan Manshahar Abdul Jalil selaku ketua jurulatih olahraga negara turut memberi kesan positif.
“Pelantikan Manshahar memberi ketenangan kepada komuniti olahraga. Kalau kita tengok kepada prestasi semasa, atlet-atlet olahraga nampaknya boleh menyumbang lebih banyak pingat menerusi acara padang dan balapan,” katanya.
Acara padang kekal menjadi taruhan utama negara, namun Jefri melihat ruang kejutan turut hadir daripada acara pecut, terutama 100 meter (m) lelaki.
Beliau memberi contoh betapa saingan 100m di Sukan SEA sering menyaksikan keputusan sukar dijangka, dengan catatan masa pelari handalan Asia Tenggara yang kadang kala jauh berbeza berbanding rekod peribadi masing-masing.
“Kita pernah lihat atlet Thailand lari 10.2 saat (s), Indonesia 10.18s, tapi bila final semua 10.3s, 10.28s. Jadi apa sahaja boleh berlaku,” katanya.
Katanya, prestasi pelari muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang mencatat masa sekitar 10.28s hingga 10.30s dalam beberapa kejohanan baru-baru ini memberi harapan baharu untuk Malaysia kembali menjadi pencabar dalam acara acara riben biru.
“Danish sudah pun lakukan di bawah 10.30. Jadi saya rasa kita mempunyai peluang dalam acara balapan juga,” ujar Jefri.
Sebagai rekod, pada Sukan SEA 2023, skuad renang negara hanya menyumbangkan satu emas, tiga perak dan empat gangsa manakala olahraga membawa pulang lima emas, tiga perak dan 11 gangsa. – UTUSAN










