Pas terbuka untuk dialog jernihkan kekeliruan - Utusan Malaysia

Pas terbuka untuk dialog jernihkan kekeliruan

parlimen
AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pas sentiasa bersedia untuk berdialog dengan mana-mana pihak bagi menjelaskan dasar serta mengatasi sebarang kekeliruan yang timbul.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, sebarang pandangan terhadap Pas wajar dijernihkan melalui dialog terbuka, bukannya berdasarkan persepsi yang tidak lengkap.

“MCA sendiri pernah bekerjasama dengan Pas dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mengetahui secara dekat pendekatan Pas ketika mentadbir.

“Sepanjang tempoh kerjasama itu, tidak pernah timbul sebarang konflik besar antara Pas dan MCA sehingga mencetuskan perbalahan terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, meskipun wujud beberapa cadangan agar MCA menyertai PN, namun hasrat itu berkemungkinan tidak berlaku atas sebab percanggahan hala tuju dengan Pas melainkan parti itu membuat pembaharuan.

Katanya, amat jelas masyarakat Cina sekian lama tidak mempunyai pandangan positif terhadap Pas, malah menolak parti itu.

Ahmad Fadhli berkata, keadaan itu berbeza dengan apa yang sering disaksikan dalam kalangan parti-parti kerajaan pada hari ini, yang kerap berdebat di khalayak secara tidak produktif.

“Pengalaman pentadbiran bersama tersebut sepatutnya menjadi asas kefahaman bahawa Pas bukan sebuah parti yang memusuhi mana-mana kaum atau agama. Sebaliknya, Pas sentiasa memilih jalan rundingan dan pendekatan harmoni dalam menangani perbezaan pandangan.

“Sekiranya masih wujud salah faham atau keraguan, pintu Pas sentiasa terbuka untuk dialog,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×