PETALING JAYA: Kumpulan Sri Ternak, pasar raya borong halal 24 jam akan membuka cawangan terbaharu ST Rosyam Mart pada 17 Disember 2025 di Jakel Square, Kuala Lumpur.
Cawangan terbaharu itu menandakan pembukaan ST Rosyam Mart yang kesembilan dan kedua di Kuala Lumpur, sekali gus merupakan cawangan yang menampilkan ‘Malaysian Selection’, sebuah ruang khas yang mempamerkan produk buatan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Sri Ternak, Datuk Raymond Ho Cheng Hann berkata, matlamat kumpulan jelas untuk membantu individu dan perniagaan menjimatkan wang dan masa dengan lebih baik.
“Pembukaan ST Rosyam Mart di Jakel Square mengukuhkan komitmen ini. Kini, kami dapat berkhidmat kepada penduduk tempatan dan pelancong yang mencari pengalaman membeli-belah yang dipercayai, mampu milik dan benar-benar Malaysia.
“Selaras dengan matlamat ini, pengenalan ‘Malaysian Selection’ bukan sahaja merupakan penambahan unik kepada cawangan ini, tetapi juga mencerminkan tanggungjawab kami sebagai jenama tempatan untuk mewakili Malaysia.
“Ia juga mempamerkan dedikasi kami terhadap aksesibiliti, nilai, dan kemudahan 24 jam untuk semua,” katanya dalam kenyataan.
Mempunyai keluasan melebihi 40,000 kaki persegi, pasar raya itu menampilkan reka bentuk moden dan kontemporari dengan siling tinggi, laluan luas, susunan produk yang teratur, kawasan barangan borong serta kaunter bayar sendiri (SCO) dan kaunter tunai yang mencukupi untuk pengalaman membeli-belah yang lancar.
Selain itu, cawangan ini turut menambah baik Celebrity Corner, sebuah ruang yang mempamerkan produk berjenama selebriti seperti produk-produk dari Datuk Chef Wan, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Khatijah Ibrahim, Ako Mustapha, Azza Elite, Betty Rahmad, Fizo Omar, Fouziah Gous, Ab Manan, Munif Hijjaz, Nubhan, Nazia Mustafar, Khai Bahar, Datuk Rosyam Nor dan ramai lagi untuk dinikmati pelanggan.
Sementara itu, Pengarah ST Rosyam Mart Sdn. Bhd., Datuk Rosyam Nor berkata, pembukaan itu bukan sekadar mengembangkan syarikat, namun mencerminkan tanggungjawab kepada rakyat Malaysia.
“Kami faham bahawa kos sara hidup di Kuala Lumpur ini mahal dan kami mahu menjadikan keperluan harian lebih mudah diakses dan mampu milik untuk semua. Kami serius dengan janji kami, ‘Berbelanja di ST Rosyam Mart, Dompet Abang Selamat’.
“Selain menawarkan keperluan harian mampu milik, kami mahu ruang ini menjadi tempat yang mudah untuk keluarga, pekerja, dan rakan-rakan untuk singgah selepas kerja, sama ada untuk membeli-belah, menikmati hidangan ringkas, atau sekadar berehat.
“Saya menjemput semua untuk hadir ke majlis perasmian pada 17 Disember 2025, pukul 8 malam nanti. Nikmati pelbagai promosi dan aktiviti menarik, serta alami sendiri bagaimana kami menggabungkan kualiti, harga berpatutan, dan keselesaan, semuanya di bawah satu bumbung,” ujarnya.
Menempatkan lebih 40,000 produk, pasar raya borong itu menawarkan pelbagai pilihan dari sayur-sayuran tempatan segar, buah-buahan, ayam berkualiti tinggi, kepada daging premium tempatan dan import seperti kambing seekor dan daging Wagyu yang lembut.
Makanan laut segar dan beku juga disediakan, termasuk king crab, ikan salmon, tuna dan banyak lagi.
Pengunjung turut boleh meneroka pelbagai barangan kering, keperluan rumah harian serta jenama sendiri kumpulan, termasuk Freshin (minuman perisa dan air mineral), Santeh (keperluan dapur, makanan tin dan barangan pantri), 1st (barangan harian seperti tisu tandas, tisu muka dan keperluan rumah), Deli West (hidangan barat segar yang dibekukan untuk kemudahan) dan Sri Ternak makanan segar dan beku, serta barangan rumah umum).
Bagi menambah keselesaan, cawangan itu turut menawarkan lebih 21 perkhidmatan percuma, termasuk pengecas kuasa percuma, air minuman percuma, khidmat pemotongan daging, pinjaman payung, bantuan pengecas bateri kereta, perkhidmatan pam tayar dan banyak lagi.
Sempena majlis perasmian, pelbagai aktiviti dan promosi menarik akan berlangsung dari 17 Disember hingga 31 Disember 2025. – UTUSAN










