Ruang kerja bersama dijangka berkembang melebihi 10%

Ruang kerja bersama dijangka berkembang melebihi 10%

CO-LABS Coworking yang bakal dilancarkan di Mid Valley Southkey, Johor pada bulan ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASARAN ruang kerja bersama di Malaysia diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) melebihi 10 peratus, dengan potensi untuk mencecah nilai bilion ringgit menjelang 2030.

Penganalisis ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, pertumbuhan ini dipacu oleh beberapa faktor utama termasuk permintaan terhadap kaedah kerja hibrid dan digital dan perkembangan ekosistem syarikat pemula yang semakin matang.

Katanya, peningkatan pelaburan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dana modal teroka juga terus mendorong perkembangan industri ini.

“Strategi pelaburan dalam sektor ini kini semakin tertumpu kepada bandar kedua seperti Johor Bahru dan George Town, selain kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang menawarkan akses mobiliti lebih baik. 

“Model hibrid yang menggabungkan ruang kerja bersama dengan elemen gaya hidup turut menjadi pendekatan baharu untuk menarik komuniti profesional muda yang mencari persekitaran kerja lebih fleksibel dan dinamik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, penembusan semasa masih rendah iaitu sekitar satu peratus berbanding purata Asia tiga peratus, sekali gus menunjukkan ruang pertumbuhan besar.

Barjoyai berkata, laporan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia menunjukkan ruang kerja fleksibel menyumbang dengan ketara kepada peningkatan produktiviti dan memupuk inovasi. 

Menurutnya, tinjauan 2023 oleh Colliers Malaysia juga mendedahkan bahawa Kuala Lumpur mendahului rantau ini dalam ketersediaan ruang kerja bersama, mencerminkan trend seluruh negara menyesuaikan diri dengan amalan kerja baharu.

Mengulas mengenai impak kepada ekonomi tempatan khususnya dalam sektor pekerjaan dan produktiviti, beliau berkata, ruang kerja bersama bukan sahaja menyediakan ruang, tetapi juga mewujudkan ekosistem yang menyokong syarikat pemula, pekerja sendiri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

“Ini meningkatkan permintaan untuk perkhidmatan sokongan seperti teknologi maklumat (IT), pengurusan acara dan makanan dan minuman (F&B).

“Persekitaran kolaboratif menggalakkan inovasi dan jaringan bersama yang terbukti meningkatkan produktiviti berbanding bekerja secara terpencil,” ujarnya.

Tambahnya, pertumbuhan ruang kerja bersama selari dengan trend kerja hibrid, ekonomi gig dan transformasi digital. 

“Syarikat pemula teknologi, pekerja sendiri dan syarikat global memilih ruang fleksibel kerana ia menyokong operasi jarak jauh dan penggunaan teknologi seperti internet kebendaan (IoT) dan aplikasi tempahan.

“Kos lebih rendah dan fleksibiliti berbanding pejabat tradisional yang memerlukan komitmen jangka panjang menjadikan ruang kerja bersama menjadi pilihan kerana ia menawarkan model langganan harian, mingguan atau bulanan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pertumbuhan ruang kerja bersama mencerminkan permintaan terhadap pasaran hartanah terutamanya ruangan pejabat sudah berevolusi. 

Katanya, kebanyakan perniagaan berhadapan dengan landskap perniagaan yang begitu mencabar seperti persaingan yang sengit, kenaikan kos operasi, keperluan pematuhan undang-undang serta cabaran permintaan pelanggan yang kian berubah. 

“Justeru, setiap syarikat perlu memikirkan strategi bagi mengurangkan kos tetap seperti sewa ruangan pejabat. 

“Oleh demikian, ruang kerja bersama menawarkan satu penyelesaian yang strategik bagi kebanyakan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu memikirkan strategi supaya bekalan pasaran ruangan pejabat tidak berlaku lambakan kerana banyak perniagaan memilih kepada penyelesaian ruang kerja bersama untuk operasi mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×