BRUSSELS: Saintis memberi amara bijirin sarapan yang dinikmati ramai setiap pagi mungkin mengandungi bahan kimia berbahaya yang dikenali sebagai ‘forever chemicals’.
Amaran itu susulan kajian baharu oleh Pesticide Action Network (PAN) Europe yang mengesan kehadiran bahan kimia sintetik toksik, asid trifluoroasetik (TFA) dalam produk bijirin yang dijual di seluruh benua.
Bahan tersebut berasal daripada racun perosak yang disembur pada tanaman seperti gandum dan jagung. TFA diketahui boleh memberi pelbagai kesan buruk terhadap kesihatan manusia termasuk gangguan pada saluran pernafasan, fungsi hati serta perkembangan bayi dalam kandungan.
Walaupun kajian itu tidak menamakan jenama atau pengeluar bijirin tertentu, TFA dipercayai tersebar luas, khususnya dalam produk berasaskan gandum.
Ketua sains dan dasar PAN Europe, Angeliki Lysimachou berkata, racun perosak yang mengandungi TFA perlu diharamkan segera.
“Kita tidak boleh membiarkan kanak-kanak dan wanita hamil terdedah kepada bahan kimia yang kita tahu menjejaskan kesihatan pembiakan,” katanya.
TFA tergolong dalam kumpulan PFAS (Per- and polyfluoroalkyl substances), yang digelar ‘forever chemicals’ kerana ia direka untuk tidak terurai dalam persekitaran.
Kajian sebelum ini mengaitkan PFAS dengan ketidaksuburan, masalah tingkah laku, kecacatan kelahiran, paras kolesterol tinggi dan pelbagai jenis kanser termasuk buah pinggang, testis dan ovari.
Kajian terbaharu yang memfokuskan TFA menganalisis 66 produk berasaskan bijirin yang dijual di 16 negara EU, termasuk Ireland, Greece, Perancis, Itali, Sepanyol dan Jerman.
Selain bijirin sarapan, penyelidik turut meneliti roti penuh gandum dan roti putih, pasta, croissant, tepung, serbuk roti dan biskut.










