PUTRAJAYA: Malaysia kekal dengan pendirian yang mahukan konflik Palestin diselesaikan secara menyeluruh termasuk mengiktiraf hak rakyat negara itu dan kezaliman serta penjajahan oleh rejim Israel dihentikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu dibuat susulan perbualan telefon beliau bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al-Thani semalam.
“Sheikh Mohammed Abdulrahman semalam memaklumkan perkembangan terkini mengenai usaha perdamaian Asia Barat.
“Perdana Menteri Qatar itu maklumkan bahawa sementara cara perdamaian yang dipelopori oleh Presiden Trump (Donald Trump) itu disambut baik oleh negara-negara Islam, tetapi kita masih musykil kerana pelanggarannya oleh Israel berterusan.
“Pembunuhan berterusan, kekejaman berterusan dan penjajahan dan penaklukan kawasan-kawasan di Tebing Barat juga masih diteruskan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku di sini hari ini.
Katanya, beliau juga berpandangan bahawa perdamaian sebenar Palestin-Israel hanya dapat dicapai melalui pendekatan yang menyeluruh dan komprehensif.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi juga telah menghubunginya bagi menyatakan kesediaan negara itu untuk menganjurkan satu sidang khas ke arah pemulihan Gaza. – UTUSAN









