TOKYO: Jepun pada Ahad mengecam tindakan pesawat tentera China yang didakwa mengunci radar jet pejuang negara itu di tenggara pulau utama Okinawa, menyifatkannya sebagai tindakan berbahaya yang boleh mencetuskan ketegangan serantau.
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika hubungan dua negara semakin merosot sejak sebulan lalu susulan kenyataan Perdana Menteri Sanae Takaichi yang menyebut kemungkinan Jepun campur tangan secara ketenteraan sekiranya Taiwan diserang.
Kenyataan itu mendapat reaksi keras Beijing yang menganggapnya provokatif.
Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi, pada sidang media tergempar awal pagi Ahad menyifatkan kejadian itu sebagai amat berbahaya dan sangat dikesali.
Tokyo turut memfailkan bantahan rasmi dan menggesa China mengambil langkah bagi mengelakkan insiden serupa daripada berulang.
Kementerian Pertahanan Jepun menjelaskan tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan dalam insiden Sabtu itu, namun menegaskan tindakan pesawat China itu melampaui batas keselamatan penerbangan.
Menurutnya, insiden pertama berlaku apabila jet pejuang J-15 China yang berlepas dari kapal pengangkut pesawat Liaoning didakwa mengunci radar secara berselang-seli ke arah pesawat F-15 Jepun.
Jet F-15 tersebut dihantar untuk memintas pencerobohan ruang udara oleh pesawat China sebelum radar kunci dilaporkan berlaku. Sekitar dua jam kemudian, satu lagi pesawat J-15 dari kapal sama didakwa melakukan tindakan serupa terhadap pesawat Jepun kedua.
“Perbuatan mengunci radar dalam insiden ini merupakan tindakan berbahaya yang melebihi keperluan keselamatan penerbangan,” tegas kenyataan kementerian berkenaan.
Radar pesawat pejuang lazimnya digunakan sebagai sistem kawalan tembakan untuk mengenal pasti sasaran, selain membantu operasi pencarian dan menyelamat.
Justeru, Jepun menuntut China bertindak lebih bertanggungjawab bagi memastikan keselamatan dan kestabilan rantau Indo-Pasifik tidak terjejas.











