Beberapa tahun kebelakangan ini, pendekatan soft parenting menjadi pilihan ramai ibu bapa muda di Malaysia.
Kaedah ini pada awalnya dipelopori oleh masyarakat Barat yang menekankan komunikasi secara lembut, memahami emosi anak, dan mengelakkan hukuman yang melampau.
Namun, realitinya tidak semua ibu bapa memahami konsep sebenar. Ada yang mengambil pendekatan terlalu longgar sehingga mewujudkan permissive parenting, di mana anak tidak ada batasan dan kurang pengawasan.
Akibatnya, anak-anak menjadi kurang bersedia menghadapi dunia sebenar yang penuh cabaran. Mereka mudah murung, sensitif terhadap kegagalan, dan cepat burnout apabila dihadapkan dengan tekanan.
Berkongsi pandangan bersama Mingguan Malaysia mengenai isu ini, Pensyarah Jabatan Syariah, Universiti Islam Selangor, Mohd. Rasyidi Ali berkata, pendidikan anak dalam Islam memerlukan keseimbangan antara kelembutan dan ketegasan.
Katanya, Rasulullah SAW mengajar untuk bersikap lembut dalam mendidik anak, tetapi tetap tegas apabila menyentuh perkara prinsip.
“Islam tidak membenarkan ibu bapa membiarkan anak mengikut kehendak sendiri tanpa disiplin dan pengawasan yang sewajarnya.
“Allah SWT berfirman: ‘Maka disebabkan rahmat dari Allah engkau (wahai Muhammad) bersikap lemah lembut kepada mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.’ (Ali ‘Imran: 159).
“Ayat ini menunjukkan kelembutan adalah asas dalam membina jiwa manusia, bukan bermaksud tiada tegas dalam hal penting,” katanya.
Menurutnya, salah faham ‘soft parenting’ memberi kesan besar kepada daya tahan mental anak. Anak yang terlalu dilindungi atau jarang menghadapi cabaran cenderung untuk mempunyai hati yang lebih rapuh.
Mohd. Rasyidi Ali
Asal: Kota Bharu Kelantan
Pekerjaan:
Pensyarah Jabatan Syariah, Universiti Islam Selangor
Imam 3 Masjid Bandar Seri Putra
Pendidikan:
Sarjana Syariah Universiti Malaya
Sarjana Muda Syariah, Universiti Mu’tah Jordan
“Jika kelembutan itu disalahgunakan menjadi tiada batas, ia sebenarnya melemahkan daya tahan anak. Mereka tidak bersedia menghadapi kegagalan kecil atau cabaran harian,” katanya.
Mohd. Rasyidi menambah, gaya keibubapaan Asia yang tegas dan disiplin, walaupun kadang-kadang keras, melahirkan generasi yang lebih lasak dan mampu bekerja keras.
Namun katanya, jika keterlaluan, ia boleh menimbulkan anak yang memendam emosi atau takut untuk bersuara.
“Islam mengajar keseimbangan. Lembut ketika mendidik, tegas apabila prinsip syariah disentuh.
“Contohnya dalam pendidikan solat, Rasulullah SAW bersabda: ‘Suruhlah anak-anak kamu solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka (dengan pukulan mendidik, bukan mencederakan) apabila mereka berumur sepuluh tahun jika mereka meninggalkannya.’ (Riwayat Abu Dawud).
“Hadis ini bukan menggalakkan kekerasan, tetapi menunjukkan struktur, disiplin dan batas yang jelas dalam pendidikan anak. Anak dididik supaya memahami kepentingan tanggungjawab,” katanya.
Menurutnya, pendekatan soft parenting yang sebenar tidak menafikan perlunya disiplin dan tanggungjawab.
“Kasih sayang yang berlebihan tanpa disiplin bukanlah pendidikan, tetapi kemewahan yang akhirnya melemahkan anak. Mereka perlu dibiasakan dengan cabaran kecil supaya belajar menghadapi risiko dan kegagalan,” katanya.
Sirah, tambahnya menunjukkan contoh yang jelas. Abdullah bin Umm Maktum yang buta tetap bekerja, membantu masyarakat, dan menyertai peperangan.
“Ini menunjukkan walaupun dalam kekurangan, beliau tetap menanam disiplin dan tanggungjawab. Anak zaman kini perlu diteladani supaya tidak cepat rapuh,” katanya.
Mohd. Rasyidi menambah, ibu bapa perlu menyeimbangkan kelembutan, ketegasan, dan hikmah dalam mendidik anak. Kesemuanya adalah amanah yang harus dilaksanakan dengan serius.
“Anak-anak bukan sekadar dibesarkan dengan kasih sayang. Mereka mesti dididik dengan prinsip yang jelas, supaya dapat membentuk jiwa yang kuat dan akhlak yang baik.
“Jika anak-anak hari ini lebih mudah murung atau cepat burnout (luput upaya) , bukan bermakna soft parenting itu salah. Ia mungkin diamalkan tanpa disiplin atau tanpa mencontohi kaedah pendidikan Rasulullah SAW,” katanya. –UTUSAN










