MELAKA: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menyeru lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam aktiviti seni budaya memohon geran berjumlah RM20 juta untuk aktiviti sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, geran sokongan sektor kebudayaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh dipohon melalui laman sesawang MOTAC bermula Januari ini.
Menurutnya, geran itu disediakan kepada penggiat seni bagi menjalankan pelbagai aktiviti dan program seni budaya seperti seni pementasan, tari, teater dan muzik.
Beliau berkata, setiap pemohon dari NGO seluruh negara boleh memohon geran yang disediakan sehingga RM300,000.

“Saya menyeru lebih banyak NGO yang terlibat dalam seni budaya untuk segera memohon geran yang disediakan bagi mereka menjalankan aktiviti dan program sempena sambutan TMM2026.
“Geran ini menyediakan peruntukan sehingga RM300,000 tetapi kelulusannya bergantung kepada Jawatankuasa Penilaian MOTAC dan mungkin ada yang mendapat antara RM80,000 atau RM100,000.
“Di pihak JKKN sendiri kita akan membantu NGO di peringkat negeri bagi memudahkan mereka memohon geran yang disediakan bagi menyemai dan menyemarakkan aktiviti seni budaya tahun depan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pementasan karya teater ‘Persidangan Hantu, Permainan Akhir di Panggung Seni Kompleks JKKN Melaka, Ayer Keroh di sini malam tadi.
Hadir sama Pengarah JKKN Melaka, Ezlina Alias dan Pengerusi Persatuan Pengerak Anak Seni Melaka Bustaman Mat.
Dalam pada itu beliau berkata, pementasan teater itu hasil arahan sutradara Raja Azrey mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai di 15 lokasi ia diadakan di seluruh negara.
Menurutnya, teater hasil karya penulis profilik dari JKKN Melaka, Mohd. Isa Maarof itu adalah satu naskah yang baik dan memberi mesej yang sangat berguna kepada penonton.
“Teater ini ada menyelitkan unsur humor hingga membuat penonton ketawa di setiap segmen tetapi paling penting ada mesej berbentuk sindiran khusus untuk masyarakat,” katanya.
Jelasnya, diperkuatkan dengan barisan pelakon dan pelawak terkemuka seperti Man Rajalawak, Ieda Moin, Ucop Cecupak, Along Eyzendy dan Evie Razwan menjadikan teater itu mencuri perhatian. – UTUSAN










