PETALING JAYA: Satu sindiket yang menggunakan kereta mewah bagi membawa guni berisi dadah ditumpaskan dalam operasi bersepadu diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 1 Disember lalu.
Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket tersebut aktif di sekitar Lembah Klang dan Perak.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di sebuah pasar raya di Petaling Jaya polis menemui puluhan guni dadah dalam sebuah Toyota Alphard serta dua Perodua Myvi.
“Polis berjaya merampas 273 kilogram methamphetamine dan 101 kilogram ketamin dengan nilai keseluruhan RM13.8 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.
Katanya, enam lelaki tempatan berusia 26 hingga 46 tahun juga berjaya ditahan.
Dalam operasi kedua di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Simpang Pulai, polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai bertindak sebagai sweeper bagi memastikan laluan penghantaran dadah selamat daripada pemantauan pihak berkuasa.
“Siasatan mendapati sindiket berkenaan aktif sejak pertengahan tahun ini dan menjadikan kawasan parkir bawah tanah pasar raya sebagai lokasi transaksi utama bagi mengaburi pergerakan mereka.
“Polis turut menyita tiga kenderaan bernilai RM140,000 di bawah Akta Pelucuthakan Harta 1988, menjadikan keseluruhan nilai rampasan meningkat kepada RM13.9 juta.
Hussein berkata, lima suspek yang ditahan memiliki rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah manakala empat daripada mereka turut didapati positif dadah.
“Kesemua suspek direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN










