Tiada kursus ‘lelong’ di universiti

Tiada kursus ‘lelong’ di universiti

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak universiti sentiasa melaksanakan proses semakan dan penstrukturan semula program akademik mereka setiap tiga hingga lima tahun bagi memastikan ia kekal relevan dengan keperluan semasa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir berkata, oleh itu pihaknya menolak dakwaan kewujudan ‘kursus lelong’ di universiti-universiti seperti didakwa pihak tertentu.

Katanya, amalan universiti bukanlah menawarkan kursus yang tidak mendapat permintaan semata-mata, sebaliknya, setiap program diteliti semula mengambil kira kehendak industri, perubahan teknologi serta perkembangan global.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Amalan universiti kebiasaannya tidak melakukan (tawar kursus lelong), orang kata kursus yang tak laku pun kita buat (tawarkan) juga.

“Setiap tiga ke lima tahun, universiti-universiti akan merangka balik, melihat semula dan review (meneliti semula) dalam bahasa akademiknya iaitu melihat daripada segi keperluan kursus-kursus yang ditawarkan sama ada kursus itu masih lagi relevan atau pun tidak, ” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Musoddak Ahmad yang meminta penjelasan kementerian berhubung terdapat universiti yang menawarkan kursus lapuk atau sudah ketinggalan.

Menurut Zambry perubahan dalam landskap pendidikan tinggi kini menuntut pendekatan baharu, terutama apabila dunia bergerak daripada konsep hands-on semata-mata kepada minds-on selari dengan era transformasi digital.

Katanya, bidang kejuruteraan sendiri menyaksikan perubahan ketara, apabila kursus tradisional seperti kejuruteraan awam dan kejuruteraan elektrikal kini berkembang kepada konsep kejuruteraan bersepadu yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu.

“Perubahan ini sangat transformatif dan berlaku bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Bidang kejuruteraan sendiri memerlukan integrasi disiplin lain untuk memenuhi keperluan teknologi masa depan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini