Israel tahan 6,000 trak bantuan ke Gaza

Israel tahan 6,000 trak bantuan ke Gaza

SEJUMLAH trak bantuan beratur menunggu giliran untuk masuk ke Gaza melalui lintasan Rafah. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mendedahkan rejim Zionis menahan sejumlah 6,000 lori sarat dengan makanan dan bantuan kecemasan, jumlah yang mencukupi untuk menampung keperluan Gaza selama tiga bulan.

Muatan itu turut merangkumi ratusan ribu khemah dan selimut bagi 1.3 juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Menurut Penasihat Media UNRWA, Adnan Abu Hasna, jumlah lori yang dibenarkan memasuki Gaza sememangnya meningkat sedikit berbanding sebelum gencatan senjata diumumkan.

Namun, beliau menegaskan kemasukan tersebut masih jauh daripada mencukupi bagi menampung keperluan besar penduduk yang terjejas akibat perang dan sekatan yang berlarutan hampir dua tahun.

Katanya, Israel terus menghalang kemasukan ratusan barangan penting, termasuk bekalan kesihatan, peralatan air dan sanitasi, serta bahan makanan asas yang amat diperlukan penduduk.

Abu Hasna berkata, hanya sebilangan kecil lori membawa barangan komersial yang dibenarkan masuk, sedangkan 95 peratus penduduk Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan dan tidak mampu membeli keperluan harian.

Keupayaan membeli dalam kalangan penduduk semakin merosot, sehingga memaksa keseluruhan masyarakat bergantung kepada agensi bantuan sebagai satu-satunya sumber sokongan.

UNRWA menegaskan, sekatan berterusan terhadap bantuan bukan sahaja melambatkan operasi kemanusiaan, malah menambahkan risiko kebuluran dan krisis kesihatan yang semakin me­runcing di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×