Keluarga dakwa kesihatan Jimmy Lai merosot teruk dalam tahanan - Utusan Malaysia

Keluarga dakwa kesihatan Jimmy Lai merosot teruk dalam tahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONG KONG: Keluarga tokoh media prodemokrasi Hong Kong, Jimmy Lai bimbang mengenai keadaan kesihatannya selepas mendakwa beliau mengalami penyusutan berat badan ketara, kuku bertukar kehijauan sebelum tanggal serta kerosakan gigi sejak dipenjara pada 2020.

Jimmy yang bakal mencecah usia 78 tahun, terus ditahan ketika Beijing memperketat kawalan terhadap Hong Kong yang sebelum ini dijanjikan sistem pentadbiran berasingan.

Menurut anak-anaknya, Jimmy yang menghidap diabetes ditempatkan dalam kurungan bersendirian tanpa pendingin hawa di sebuah penjara yang mencecah suhu sehingga 44 darjah Celsius pada musim panas.

Mereka berkata kesihatannya merosot dengan mendadak, termasuk kelemahan fizikal yang jelas dan keadaan kuku serta gigi yang semakin buruk.

Claire Lai, anak perempuan beliau, berkata keluarganya terkejut melihat perubahan drastik itu ketika kali terakhir bertemu bapanya.

Dalam lawatannya ke Washington untuk mendapatkan sokongan antarabangsa, Claire turut mendakwa pengawal penjara enggan membenarkan bapanya menerima komuni walaupun beliau seorang Katolik taat, selain melakukan tindakan kecil yang didakwa bertujuan melemahkan semangatnya.

Antara tindakan tersebut, katanya, termasuk menghentikan pemberian sos kari selepas mengetahui itu makanan kesukaan beliau.

“Perkara kecil seperti itu sangat kejam,” ujarnya.

Jimmy sebelum ini dikenali sebagai ahli perniagaan berjaya dan pengasas Apple Daily, tabloid prodemokrasi yang lantang sebelum ditutup oleh pihak berkuasa.

Beliau berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya 15 tahun atas tuduhan kolusi dengan kuasa asing susulan siri protes besar-besaran di Hong Kong pada 2019.

Keluarganya menyifatkan hukuman itu sebagai hampir bersamaan dengan hukuman mati memandangkan usia dan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×