CAMERON HIGHLANDS: Semua projek pembangunan di kawasan hutan melebihi 52 ekar di Cameron Highlands perlu di hentikan sertamerta bagi menge lak risiko berlaku bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh.
Ini kerana pembangunan di kawasan tanah tinggi itu kini mencapai tahap terlalu padat dan sudah tiba masanya kerajaan menyatakan ‘cukup’ terhadap projek berskala besar di lokasi sensitif itu.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach), A. Dilip Martin berkata, situasi pembangunan pesat turut menjejaskan laluan ke kawasan tinggi itu sehingga mengalami kesesakan lalu lintas, selain perubahan suhu yang semakin panas akibat pengurangan kawasan hijau.
“Pembangunan mesti dikawal, hutan mesti dipertahankan dan alam sekitar perlu menjadi keutamaan kerana kawasan ini kini berada pada titik kritikal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau merujuk kejadian tanah runtuh di Puncak Arabella, Tanah Rata baru-baru ini, yang membuktikan perlunya kerajaan menilai semula semua projek pembangunan di kawasan bukit dan zon sensitif alam sekitar.
“Kejadian ini wajar dijadikan iktibar agar kelulusan pem bangunan di kawasan berisiko tinggi tidak diberikan sewenang-wenangnya. Setiap ke lulusan perlu berpandukan garis panduan sedia ada, bukannya budi bicara sematamata, terutamanya bagi projek di kawasan berketinggian dan cerun melebihi 45 darjah,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu dianggarkan kira-kira 700 penduduk terputus hubungan. Biarpun kejadian itu tidak melibatkan mangsa tertimbus tetapi ia amaran kepada kerajaan supaya tegas dalam menilai setiap kelulusan pembangunan di kawasan sensitif alam sekitar, dengan mengutamakan keselamatan penduduk dan kestabilan tanah.
Dalip berkata, projek Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Sungai Burung turut mengalami tanah runtuh walaupun laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA), Kebenaran Merancang dan ulasan teknikal telah diluluskan dengan punca utama adalah kegagalan kontraktor mematuhi syarat dan prosedur kerja yang ditetapkan.
Katanya, walaupun Rancangan Tempatan Daerah Cameron Highlands (RTDCH) 2030 sudah diwujudkan, banyak projek masih diluluskan tanpa mematuhi garis panduan dokumen tersebut.
Katanya Reach menghargai usaha penguatkuasaan pihak berkuasa dan menyeru penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta wakil NGO sebagai pemantau bebas bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan salah faham rakyat.
Sementara itu Dalip berkata, Reach turut meminta kerajaan Persekutuan meneliti semula semua kelulusan pembangunan dan menasihatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menghentikan projek usahasama antara Majlis Daerah Cameron Highlands dan pemaju swasta di Sungai Burung demi kelestarian alam sekitar.
“Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu memberi tumpuan kepada penyelesaian kesesakan trafik tanpa memusnahkan alam sekitar. Pelancong datang ke tanah tinggi ini untuk menikmati cuaca sejuk, kehijauan dan ketenangan, bukannya menyaksikan pembangunan yang merosakkan keindahan semula jadi. Kehijauan hutan yang masih ada perlu dipelihara untuk generasi masa depan, bukan terus diteroka demi kepentingan pihak tertentu,” katanya.
Mei lalu Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan duka cita melihat kemusnahan alam sekitar di Cameron Highlands hingga Lembah Bertam kini jadi ‘hutan plastik’.
Baginda bertitah, keadaan itu menyedihkan dan menggambarkan tahap penerokaan tanah yang mengubah wajah semula jadi kawasan tersebut.
Sultan Abdullah menzahirkan rasa kecewa kerana aktiviti penerokaan menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan, menyamakan situasi itu dengan ‘nasi sudah menjadi bubur’.
Baginda turut menyeru agar semua pihak di peringkat daerah lebih peka dan bertanggungjawab dengan melaporkan aktiviti haram kepada pihak berkuasa, bukannya menjadi ‘boneka’ kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Mac lalu, Utusan Malaysia mendedah mengenai kebimbangan penduduk Cameron Highlangs mengenai pembinaan bangunan tinggi yang berterusan, pembukaan tanah besar-besaran untuk pertanian serta pengembangan infrastruktur yang berlebihan dibimbangi akan memberi kesan buruk terhadap bekalan air di situ. – UTUSAN










