PARLIMEN: Tahap keselamatan internet rendah

PARLIMEN: Tahap keselamatan internet rendah

YEO BEE YIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat menegur Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selepas mendapati tahap keselamatan internet di bawah seliaan suruhanjaya itu berada pada paras yang amat rendah.

Pengerusi jawatankuasa, Yeo Bee Yin berkata, kelemahan ketara dikesan dalam aspek kawalan terhadap permainan video dalam talian dan kandungan pornografi yang melibatkan kanak-kanak, termasuk penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak

“SKMM tidak menggunakan sistem automasi dan kecerdasan buatan (AI). Pemantauan hanya dijalankan dengan menggunakan carian secara manual seperti kata kunci. Ini adalah sangat membimbangkan,” katanya pada sesi penerangan berkaitan Penyata Jawatankuasa Berhubung Keselamatan Digital dan Kesihatan Mental Kanak-Kanak Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, jawatankuasa mengenal pasti tiga cabaran utama untuk mengatasi impak negatif pendedahan internet tanpa kawalan dalam kalangan kanak-kanak iaitu melibatkan aspek keupayaan penguatkuasaan keselamatan digital, pengurusan mental kanak-kanak dan tahap literasi digital termasuk peranan ibu bapa.

“Pertama, keupayaan penguatkuasaan keselamatan digital negara masih belum memadai disebabkan keterbatasan kuasa perundangan, ketidakpatuhan platform global dan paling penting, kapasiti pemantauan MCM yang rendah.

“Kedua, pengurusan kesihatan mental kanak-kanak di sekolah masih tidak menyeluruh dan konsisten.

“Ketiga, tahap literasi digital dan keupayaan pengawasan ibu bapa terhadap penggunaan peranti kanak-kanak masih rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×