LONDON: Bagi ramai rakyat Britain, bersenam sekali seminggu sudah dianggap satu kejayaan tetapi seorang wanita berusia 101 tahun berkata, rutin senaman harian dan kegemaran terhadap minyak zaitun adalah rahsia di sebalik hayatnya yang panjang dan sihat.
Iñaxi Lasa yang berasal dari Beasain, Sepanyol, sentiasa menjalani gaya hidup yang sangat aktif dan kini tekad menjadi orang paling tua di gim, bukan orang paling muda di rumah jagaan.
Dia sudah melalui Perang Dunia Kedua, kanser payudara, dua kali patah pinggul, pembedahan mata dan jangkitan Covid-19 ketika berusia 98 tahun.
Walaupun menghidap osteoartritis iaitu keadaan yang menyebabkan sendi kaku dan sakit apabila rawan pelindung pada hujung tulang semakin haus, wanita itu tidak pernah terlepas sehari pun daripada bersenam.
Lasa mula pergi ke gim ketika berusia 94 tahun, dengan dua mula menggunakan pemberat untuk membina otot, menguatkan tulang dan memperlahankan risiko demensia.
“Tapi saya sudah aktif sejak dulu. Saya selalu guna basikal pegun dan banyak berjalan, tetapi penjaga dan anak saya menggalakkan saya ke gim dan sejujurnya, ini perkara terbaik yang saya lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sekarang pada musim sejuk, saya bangun pukul 8 pagi dan keluar berjalan, jika tidak hujan.
“Selepas itu saya ke gim bersama anak saya. Kami habiskan dua jam buat latihan kekuatan, kami tidak buat latihan kardio di gim,” katanya.
Katanya, latihan kekuatan buat dirinya rasa hidup, dan ia juga sangat baik untuk mindanya.
Dari segi jangka hayat, latihan kekuatan sama ada menggunakan pemberat atau sekadar berat badan sendiri sejak lama diiktiraf sebagai antara amalan terbaik untuk umur panjang.










