KUALA LUMPUR: Negara masih berhadapan dengan tekanan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah sekitar RM13 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hutang terbesar yang masih ditanggung kerajaan adalah 1MDB yang diwarisi sejak 2018 dengan jumlah hutang hampir mencecah RM50 bilion.
Menurut beliau, sehingga kini kerajaan sudah membayar RM42 bilion untuk melangsaikan hutang tersebut termasuk principal dan faedah.
“Tetapi Alhamdulillah kerana kita juga (sudah) dapat pulangan balik RM29 bilion yang telah dapat dibiayai kerana usaha semua jabatan (seperti) Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kewangan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
“Tanggungjawab kita (terhadap) tekanan hutang 1MDB masih sekitar RM13 bilion dan masih terdapat baki yang harus kita sempurnakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang meminta untuk menyatakan jumlah terkini hutang negara serta prinsip kerajaan dalam mengurangkan pinjaman baharu.
Anwar berkata, kerajaan Madani komited untuk terus menurunkan hutang baharu 2025 dengan unjuran sekitar RM75 bilion dan memastikan paras hutang kekal di bawah had statutori yang ditetapkan.
Jelasnya, kerajaan tidak pernah gagal memenuhi obligasi pembayaran faedah dan prinsipal hutang mengikut jadual.
“Seperti mana kita lihat kenyataan defisit yang ditanggung setakat ini adalah sehingga akhir Disember lalu dan mengakibatkan jumlah hutang persekutuan (sekitar) RM1.3 bilion ke RM1.5 bilion tetapi isu besar tanggungan hutang dan obligasi kita harus tunaikan.
“Parasnya dan keupayaan kita ada umpamanya kapasiti kewangan kerajaan mestilah diteruskan secara berhemah kerana hutang statutori kerajaan itu 64 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ini masih di bawah statutorI 65 peratus.
“Begitu juga (dengan) pinjaman luar persisir sekarang ini RM22.4 bilion iaitu bawah daripada paras 35 (peratus) yang ditetapkan, bil perbendaharaan Malaysia juga tidak melebihi kerana sekarang RM4 bilion, paras kita RM10 bilion,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan terus mengambil langkah untuk meningkatkan pengawalan liabiliti fiskal dengan beberapa konsolidasi fiskal seperti penyasaran subsidi termasuk RON95 yang sudah mencatat kejayaan.
“Satu hal lain ialah mengurangkan beban kerajaan melalui pelaksanaan prinsip user-pay Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030),” katanya.
Menjawab soalan tambahan, Anwar berkata, kerajaan boleh menurunkan hutang dengan segera tetapi ia akan memberi impak kepada rakyat.
“Sebab itu dari RM100 bilion hutang baru, kita turun kepada RM70 bilion. Kita boleh turun (kepada) RM20 bilion pada tahun depan (tetapi) kerajaan negeri janganlah mintak peruntukan.
“Sebab itu penurunan itu harus menunjukkan keupayaan kita meneruskan projek-projek asas yang wajib dilaksanakan tebatan banjir, prasarana asas, pendidikan, kesihatan dan lain-lain,” katanya.
Tambahnya, apabila unjuran defisit menunjukkan berkurangan maka ia bermakna tanggungan hutang akan berkurangan.
“Umpamanya kalau jumlah tuntutan hutang itu berkurang kerana kita bayar ikut obligasi, pada masa yang ditetapkan.
“Unjuran kita pada 2027, 2028 ia boleh plato dan kalau keadaan berikut dapat diteruskan (dengan) konsisten oleh kerajaan maka tekanan hutang kita akan menurun mulai akhir 2028 ke 2029,” katanya. – UTUSAN










