PETALING JAYA: Petaling, Bintulu dan Johor Bahru merekodkan nilai ditambah tertinggi mengikut daerah pentadbiran dengan jumlah bernilai RM379.2 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi dapatan utama Banci Ekonomi 2023 mengikut negeri dan daerah pentadbiran.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara dengan nilai ditambah sebanyak RM417.6 bilion, menggambarkan kedudukannya sebagai pusat aktiviti ekonomi berintensiti tinggi.
“Bilangan pertubuhan yang beroperasi di negeri ini pada 2022 adalah sebanyak 270,363 pertubuhan dengan 2,679,675 pekerja.
“Analisis mengikut daerah menunjukkan Petaling sebagai penyumbang terbesar dengan nilai ditambah RM224.0 bilion, diikuti Klang (RM89.3 bilion), Gombak (RM32.2 bilion), Ulu Langat (RM28.7 bilion) dan Sepang (RM18.6 bilion),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan menjadi teras pertumbuhan dan pembangunan daerah Petaling, manakala sektor pembuatan dan pembinaan turut memperkukuh struktur ekonomi daerah melalui penciptaan pekerjaan dan peluasan kapasiti perusahaan.
Menurutnya, kedudukan Kuala Lumpur sebagai pusat ekonomi utama negara terserlah melalui nilai ditambah kedua tertinggi sebanyak RM301.8 bilion, hasil daripada 137,882 pertubuhan yang beroperasi dengan melibatkan seramai 1,639,468 pekerja dengan jumlah gaji dan upah sebanyak RM77.4 bilion.
“Struktur ekonomi Kuala Lumpur jelas didominasi oleh sektor perkhidmatan yang menyumbang 93.6 peratus daripada keseluruhan nilai ditambah. Jumlah guna tenaga dalam sektor perkhidmatan mencatatkan 1,351,426 pekerja dengan gaji dan upah sebanyak RM68.1 bilion.
“Aktiviti utama seperti perdagangan borong dan runcit, maklumat dan komunikasi, kewangan serta perkhidmatan profesional menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi bandar raya ini,”jelasnya.
Tambahnya, sektor ekonomi lain turut menjana nilai ditambah Kuala Lumpur dengan sektor pembinaan dengan sumbangan 3.7 peratus, pembuatan (1.1 peratus) dan perlombongan & pengkuarian (1.6 peratus).
“Struktur ekonomi Kuala Lumpur yang matang dan berorientasikan perkhidmatan menunjukkan bahawa bandar raya ini terus menjadi nadi pelaburan dan inovasi.
“Tumpuan aktiviti ekonomi bernilai tinggi di Kuala Lumpur turut memberikan kesan pengganda yang besar kepada kawasan metropolitan sekitarnya,” ujarnya.
Beralih kepada negeri Sarawak, beliau berkata, nilai ditambah sebanyak RM165.4 bilion terhasil daripada operasi sebanyak 70,626 pertubuhan dengan bilangan pekerja seramai 624,361 orang.
“Analisis mengikut daerah pentadbiran di negeri Sarawak menunjukkan Bintulu menduduki tangga teratas dengan nilai ditambah RM87.8 bilion, diikuti Miri (RM34.1 bilion), Kuching (RM23.6 bilion), Sibu (RM9.1 bilion) dan Mukah (RM2.2 bilion),” jelasnya.
Sementara itu, beliau berkata, Johor merupakan negeri yang merekodkan sumbangan nilai ditambah keempat tertinggi, menjana nilai ditambah sebanyak RM129.4 bilion daripada operasi sebanyak 129,425 pertubuhan dengan 1,264,822 pekerja.
“Analisis mengikut daerah menunjukkan Johor Bahru sebagai penyumbang utama nilai ditambah bagi negeri Johor (RM67.4 bilion), diikuti Batu Pahat (RM18.2 bilion), Kulai (RM11.6 bilion), Muar (RM9.3 bilion) dan Kluang (RM6.8 bilion).
“Dari segi sektoral, sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan merupakan sektor ekonomi utama di Johor Bahru dan Batu Pahat, sekali gus menjadikan kedua-dua daerah ini sebagai nadi ekonomi negeri Johor,” jelasnya.
Mohd Uzir berkata, penerbitan statistik mengikut daerah pentadbiran ini memberikan gambaran terperinci mengenai taburan aktiviti ekonomi tempatan, justeru membantu kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam perancangan pembangunan wilayah, penentuan potensi pelaburan, dan pemantauan prestasi ekonomi setempat.
“Maklumat ini membolehkan pihak berkepentingan memahami kekuatan ekonomi setiap daerah, mengenal pasti sektor tumpuan serta merancang strategi pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif,” tambah beliau. – UTUSAN










