Perodua lancar QV-E dengan kos pembangunan RM800j

Perodua lancar QV-E dengan kos pembangunan RM800j

ANWAR Ibrahim (dua dari kanan) pada Majlis Peluncuran EV pertama Perodua di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini. - UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perodua melancarkan kenderaan elektrik (EV) buatan Malaysia pertama, QV-E pada harga RM80,000, tidak termasuk insurans dan bateri, sebagai sebahagian daripada agenda nasional negara dalam membangunkan ekosistem EV yang mampan.

QV-E, bermaksud ‘Quest for Visionary-Electric’ menelan kos pembangunan sebanyak RM800 juta dan dikeluarkan di kemudahan pengilangan terbaharu Perodua di Smart Mobility Plant.

Perodua turut memperkenalkan konsep pajakan bateri yang dikenali sebagai ‘Battery as a Service’ yang mana ia dijual secara berasingan dengan kereta dan pelanggan perlu membayar RM275 sebulan bagi tempoh pembiayaan sembilan tahun.

Konsep ini menawarkan penyelesaian terhadap kebimbangan pemilik EV, di samping menawarkan jaminan bateri sepanjang hayat kepada pelanggan demi ketenangan minda mereka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, QV-E menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (52.5kW) dan mempunyai kapasiti julat sehingga 445 kilometer (NEDC), bergantung kepada cara pemanduan,suhu dan keadaan jalan.

“Pada masa ini, kami boleh mengeluarkan 500 unit kenderaan sebulan, tetapi kami akan menawarkan 3,000 unit kenderaan sebulan menjelang suku ketiga tahun 2026,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Peluncuran EV pertama Perodua di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini, semalam.

Majlis itu diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Selain itu, beliau berkata, model ini juga dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini termasuklah sistem pengesanan dan amaran kanak-kanak yang mengingatkan pemandu sekiranya ada kanak-kanak ataupun binatang peliharaan yang tertinggal di dalam kereta.

QV-E yang boleh didapati di cawangan Perodua terpilih sahaja itu didatangkan dalam dua warna iaitu biru Ice dan kelabu Caviar Grey.

Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 1 September 2023, Perodua dilantik sebagai juara dan peneraju pengeluar automotif tempatan untuk membangunkan ekosistem EV.

Perodua menjalin kerjasama secara agresif dengan vendor tempatan untuk membekalkan 50 peratus komponen menjelang awal tahun 2026 dan meningkatkannya kepada 70 peratus menjelang 2030.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, Perodua menjangkakan jualan tahunan sebanyak 359,000 unit pada tahun ini, antara jumlah tertinggi sejak syarikat ditubuhkan, sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai pengeluar automotif kedua terbesar negara. 

Sehingga kini, sejumlah 52 syarikat tempatan menjadi pembekal komponen auto untuk QV-E dan syarikat kenderaan kompak itu merancang untuk meningkatkan jumlah berkenaan kepada 70 vendor dalam tempoh lima tahun (menjelang 2030).

Menerusi sokongan penuh MITI serta disokong oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan berkaitan, Perodua berjaya mengeluarkan kenderaan elektriknya dalam tempoh 28 bulan.

“Sokongan yang diberikan oleh pihak kerajaan amat penting dalam merevolusikan ekosistem EV di negara ini yang turut mengambil kira aspek kualiti, ketahanan dan pembaharuan dalam teknologi digital,” katanya. 

Sasaran pembeli utama untuk QV-E adalah golongan pertengahan serta mereka yang mencari kereta kedua atau kereta gantian untuk kegunaan harian ataupun kegunaan santai pada hujung minggu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×