AHLI Parlimen dipilih untuk membawa suara dan kebajikan rakyat ke Dewan Rakyat. Setiap cadangan yang dikemukakan seharusnya berpaksikan kepentingan awam, bukan sekadar mencari populariti atau menonjolkan diri.
Malangnya, dalam realiti politik kini, masih ada wakil rakyat yang menumpukan cadangan populis tanpa menilai kesan jangka panjang terhadap ekonomi, sosial dan kestabilan negara.
Dalam sistem demokrasi berparlimen, kebebasan bersuara dijamin tetapi harus datang bersama tanggungjawab moral dan intelektual.
Ahli Parlimen perlu memastikan setiap usul disokong fakta, data dan analisis munasabah. Cadangan tergesa-gesa demi menarik perhatian rakyat mungkin menggembirakan seketika tetapi akhirnya menjejaskan hasil negara dan kesejahteraan masyarakat.
Rasionaliti bermakna menilai kesan dasar secara menyeluruh, bukan hanya kepada kumpulan tertentu tetapi kepada keseimbangan keseluruhan masyarakat. Pendekatan berasaskan bukti perlu menjadi asas setiap hujahan di Parlimen.
Fenomena politik populis menggunakan isu sensitif seperti perkauman, agama atau subsidi untuk meraih simpati politik bukanlah asing. Pendekatan jangka pendek ini mungkin menguntungkan individu atau parti tertentu tetapi dalam jangka panjang berpotensi memecahbelahkan masyarakat.
Ahli Parlimen yang rasional tidak akan mempertaruhkan masa hadapan negara semata-mata untuk kepentingan peribadi atau populariti.
Selain itu, ahli Parlimen sepatutnya menjadi contoh dari segi etika dan disiplin intelektual. Cadangan perlu disampaikan dengan sopan, berlandaskan ilmu dan tanpa emosi.
Sikap saling menghormati antara kerajaan dan pembangkang penting agar perbahasan menjadi platform membina dasar yang berkesan.
Hanya dengan pemikiran terbuka, pertimbangan fakta dan keberanian berkata benar membolehkan wakil rakyat dapat memastikan politik negara berkembang matang, rasional dan berpihak kepada rakyat.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Batu Pahat, Johor










