Perjuangan perlu berterusan untuk saudara di Palestin

Perjuangan perlu berterusan untuk saudara di Palestin

SOKONGAN rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin mencerminkan nilai kemanusiaan, keadilan dan etika.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

8 Oktober 2025 mencatat detik bersejarah apabila 23 sukarelawan dan aktivis Global Sumud Flotilla Nusantara pulang ke tanah air setelah ditahan secara tidak sah oleh tentera rejim Zionis Israel.

Kisah mereka menarik perhatian rakyat Malaysia, terutamanya kerana majoriti aktivis adalah figura yang dikenali ramai. Namun, tumpuan utama bukan pada populariti individu tetapi pada sejarah panjang penderitaan rakyat Palestin di bawah kekejaman rejim Zionis sejak 1948.

Sokongan terhadap misi global membebaskan Palestin adalah tanggungjawab moral, etika dan sosial yang mendalam serta cerminan komitmen rakyat Malaysia terhadap keadilan sejagat.

Konflik Palestin-Israel melampaui pertikaian wilayah malah mencerminkan penindasan sistematik dan pencabulan hak rakyat Palestin. Sebagai sebahagian komuniti global, rakyat Malaysia memainkan peranan untuk menjadi suara bagi yang dibisukan dan harapan bagi mereka yang kehilangan segalanya. Sokongan ini membuktikan kemanusiaan masih wujud dan keadilan sentiasa diperjuangkan.

Kedua, penegakan prinsip keadilan dan undang-undang antarabangsa. Penjajahan berterusan dan penempatan haram rejim Zionis jelas melanggar Konvensyen Geneva dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Dengan menyokong misi global ini, Malaysia menegaskan kezaliman tidak boleh berlaku tanpa bantahan, sambil menekankan tentang hak rakyat Palestin dan kedaulatan undang-undang antarabangsa.

Ketiga, Malaysia mampu memberi tekanan politik dan ekonomi kepada rejim Zionis melalui forum antarabangsa, termasuk PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Kempen boikot, divestasi dan sekatan (BDS) yang disokong rakyat Malaysia terbukti memberi impak ekonomi dan merosakkan reputasi syarikat yang menyokong penjajahan Israel.

Keempat, menjunjung tinggi nilai Islam dan kesucian agama. Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam, kini terancam. Membela Palestin adalah usaha mempertahankan kesucian agama, warisan Islam dan hak beribadah umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah seruan jihad dalam erti kata mempertahankan kebenaran dan keadilan.

Kelima, memperkasa perpaduan nasional. Isu Palestin berjaya menyatukan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang politik. Sokongan bersama menunjukkan kemampuan rakyat mengetepikan perbezaan demi tujuan yang lebih besar, memupuk keharmonian dan persefahaman.

Rakyat boleh terus menyatakan sokongan melalui :
– Pendidikan: Sebarkan maklumat sahih mengenai Palestin melalui media sosial, blog, seminar atau forum. Tingkatkan kefahaman masyarakat tentang penderitaan rakyat Palestin dan naratif sebenar konflik.
– Sumbangan kewangan dan bantuan kemanusiaan: Salurkan bantuan kepada organisasi diiktiraf yang menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin. Kerajaan juga digalakkan berunding dengan Mesir bagi membolehkan penghantaran bantuan melalui jalan darat.
– Kempen BDS: Elakkan produk atau perkhidmatan berkaitan rejim Zionis. Tekanan ekonomi ini terbukti berkesan menekan rejim untuk mematuhi undang-undang antarabangsa.
– Doa dan sokongan moral: Doa adalah senjata ampuh. Sokongan moral melalui perkongsian kisah dan memastikan isu Palestin sentiasa relevan di media sosial penting bagi memelihara kesedaran dan solidariti.

Dengan perpaduan utuh, tindakan konsisten dan keazaman tidak goyah, Malaysia mampu menjadi suara yang kuat serta pembela setia bagi Palestin.-UTUSAN

SHARIFAH ANITA WAFA SYED MUNIR WAFA
Cybersouth, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×