Pulau Pinang jadi lokasi transit jenayah sebelum masuk Australia - Utusan Malaysia

Pulau Pinang jadi lokasi transit jenayah sebelum masuk Australia

MOHD. Zawawi Abdullah (dua dari kiri) dan Timbalan Komander Pemerintahan Sempadan Maritim Australian Border Force (ABF), Linda Cappello pada Majlis Penutup Operasi Redback Siri 21/2025.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang dikenal pasti sebagai salah satu negeri di perairan Selat Melaka yang dijadikan pusat transit untuk semua jenis jenayah rentas sempadan termasuk melibatkan penyeludupan migran.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd. Zawawi Abdullah ber­kata, kedudukan negeri ini yang berada hampir dengan Indonesia menjadikannya lokasi tumpuan sindiket sebagai laluan masuk dan keluar sebelum ke negara lain termasuklah Australia.

“Hasil operasi dan risikan sebelum ini menunjukkan terdapat beberapa kes penyeludupan migran yang menjadikan perairan Pulau Pinang sebagai laluan pilihan terutama oleh sindiket dari kawasan utara Selat Melaka.

“Kedudukan Pulau Pinang sebagai kawasan transit turut menjadikan negeri ini berisiko terhadap aktiviti penyeludupan dadah, migran dan pelbagai jenayah laut lain sebelum dihantar ke negara jiran terma­suk Australia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penutup Operasi Redback Siri 21/2025 di sini, semalam.

Mohd. Zawawi berkata, be­berapa laluan masuk telah dikenal pasti termasuk perairan Kuala Muda, Nibong Tebal dan Balik Pulau.

Katanya, namun kebanyakan sindiket memilih mendarat di tanah besar bagi mengelak kawalan ketat di bahagian pulau.

“Kalau ikutkan, sindiket ini lebih suka terus ke tanah besar. Kalau tempat pendaratan dekat pulau, mereka akan berdepan pelbagai halangan termasuk pemeriksaan agensi penguatkuasa dan laluan jambatan. Sebab itu tangkapan dadah banyak dibuat di tanah besar,” katanya.

Mohd. Zawawi berkata, ketika ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang menilai keperluan menambah aset yang mempunyai keupayaan lebih tinggi bagi melakukan rondaan di sempadan.

“Kita dalam proses menilai aset lebih berkemampuan untuk diletakkan di Pulau Pinang supaya rondaan di sempadan perairan dapat dibuat dengan lebih berkesan,” katanya.

Katanya, radar di Pulau Pe­rak turut memantau pergerakan bot dari Aceh dan kawasan lain membantu operasi, namun, tidak meliputi Pulau Pinang se­penuhnya.

Beliau berkata, penambahan aset penting juga bagi menangani isu pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara serta insiden nelayan tempatan ditangkap penguat kuasa asing.

“Kita akan menambah aset berkeupayaan tinggi untuk rondaan di sempadan bagi mengekang aktiviti jenayah dan melin­dungi nelayan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×