Rotan untuk asas pendidikan akhlak pelajar

Rotan untuk asas pendidikan akhlak pelajar

HUKUMAN rotan apabila dilaksanakan secara berhemah dapat membentuk disiplin dan mengekang gejala buli serta sikap kurang hormat terhadap guru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKHIR-AKHIR ini, media massa hangat membincangkan kes rogol beramai-ramai dan pembunuhan di kawasan sekolah. Namun, isu yang lebih asas dalam pendidikan ialah adab dan akhlak pelajar. Islam menekankan pembentukan akhlak mulia, seperti yang diutuskan Rasulullah untuk menyempurnakan manusia.

Dalam konteks ini, hukuman rotan di sekolah bukan untuk mencederakan pelajar tetapi sebagai alat pendidikan. Ia menyerupai hukuman rotan dalam sistem penjara, yang tujuannya mendidik dan mengingatkan pesalah tentang akibat perbuatan mereka.

Di sekolah, hukuman ini memberi penekanan kepada disiplin, rasa hormat terhadap guru dan mewujudkan suasana pembelajaran yang harmoni.

Sekolah adalah asas pendidikan akademik dan kemahiran sosial. Namun, jika pendidikan asas di rumah lemah dengan keluarga bermasalah, penggunaan gajet tanpa kawalan dan pendedahan kepada permainan video agresif boleh menyebabkan pelajar cenderung menanamkan pemikiran ganas tanpa empati.

Hukuman rotan apabila dilaksanakan secara berhemah dapat membentuk disiplin dan mengekang gejala buli serta sikap kurang hormat terhadap guru.

Ketiadaan hukuman ini kadangkala menyebabkan pelajar tidak menghormati guru.

Aduan ibu bapa melalui sistem seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) turut menimbulkan tekanan kepada guru kerana boleh menjejaskan kerjaya mereka.

Dalam sejarah pendidikan zaman dahulu, pelajar sangat menghormati guru, begitu juga ibu bapa menghargai pendidik. Jika pelajar dirotan di sekolah, ibu bapa turut menegur anak di rumah, menguatkan disiplin dan akhlak mereka.

Cadangan untuk Kementerian Pendidikan:
– Mengambil iktibar daripada sejarah pendidikan yang menekankan akhlak dan adab terhadap guru.
– Menggunakan hukuman rotan sebagai alat mendidik bagi menanam disiplin dan mencegah gejala buli.
– Menegaskan disiplin di sekolah penting untuk mengelakkan generasi yang berilmu tetapi tiada adab.
– Ibu bapa tidak seharusnya mempertahankan anak tanpa menyedari peranan mereka dalam memantau tingkah laku anak di rumah.

Sekolah harus melahirkan pelajar berakhlak mulia dan berdisiplin, bukan sekadar pintar tanpa adab. Sebagaimana pepatah Melayu, ‘Sayangkan anak, tangan-tangankan’, tindakan mendidik dengan tegas tetapi berhemah adalah wajar untuk membentuk generasi yang bertanggungjawab dan berbudi pekerti.-UTUSAN

DR. ZUNAIDDIN IBRAHIM
Rawang, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×