APABILA teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan automasi semakin meluas dalam industri pembinaan, jelas menunjukkan kejayaan transformasi digital Malaysia tidak bergantung semata-mata pada teknologi tetapi pada cara mentadbir data.
Baru-baru ini, pada Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW 2025), pemimpin industri menekankan aspirasi pembinaan digital negara kini berkembang lebih pantas berbanding keupayaan kita mengurus dan melindungi data. Walaupun banyak organisasi menggunakan AI, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan pelbagai alat digital lain, namun hasilnya kerap terbantut kerana asas tadbir urus data masih lemah.
Dalam industri yang beroperasi dengan aliran data harian antara kontraktor, perunding serta pelanggan, ketiadaan panduan tadbir urus yang jelas boleh menyebabkan ketidakcekapan, pertindihan maklumat dan hilangnya kepercayaan.
Perbincangan di ICW 2025 menekankan empat isu utama iaitu pulangan pelaburan (ROI), keselamatan data, pemilikan data dan kesiapsiagaan tenaga kerja.
Semua isu ini menunjukkan mesej sama selagi Malaysia belum membina budaya tadbir urus data yang mantap, transformasi digital akan kekal berpecah-pecah. Tadbir urus data yang baik membolehkan pelaburan teknologi diterjemahkan kepada hasil nyata, meningkatkan kepercayaan antara pihak, menjelaskan hak pemilikan dan membolehkan tenaga kerja menggunakan data secara beretika dan bertanggungjawab.
Walaupun banyak organisasi menganggap pendigitalan sebagai kos tambahan, tadbir urus data membolehkan pulangan pelaburan diukur melalui produktiviti, pengurangan kos dan kelestarian. Namun, dengan data yang selamat dan boleh dipercayai membolehkan AI dapat memberi pandangan tepat, membina kepercayaan jangka panjang dan mematuhi piawaian keselamatan siber.
Pemilikan data juga kritikal melalui repositori data pembinaan kebangsaan dan klausa pemilikan dalam projek kerajaan, Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan kepada platform asing, sekali gus memperkukuh kedaulatan digital negara.
Transformasi digital bukan hanya soal teknologi tetapi turut melibatkan manusia. Tenaga kerja perlu dilatih bukan hanya dalam kemahiran asas tapak binaan sebaliknya merangkumi juga analitik data, keselamatan siber dan etika AI.
Pelan Bakat Pembinaan Digital yang menyatukan universiti, pensijilan profesional dan program peningkatan kemahiran berterusan mampu melahirkan tenaga kerja yang bukan sekadar pengguna teknologi tetapi penjaga tadbir urus dan integriti industri.
Tadbir urus data juga merupakan sumber kelebihan kompetitif. Data projek yang diurus sistematik membolehkan analisis ramalan, mengurangkan pembaziran dan mempercepat keputusan.
Malaysia mampu membina ekosistem pembinaan digital yang cekap, telus serta berdaya saing di peringkat global dengan tadbir urus data diintegrasikan ke dalam dasar, pendidikan dan pelaksanaan projek.
Akhirnya, mengurus data bukan sekadar kerja teknikal tetapi tanggungjawab membina masa hadapan negara. Semakin cepat tadbir urus data dijadikan asas transformasi AI, maka semakin dekat Malaysia kepada masa hadapan pembinaan digital yang mencerminkan keupayaan, integriti dan visi negara.-UTUSAN
DR. ZAFIRA NADIA MAAZ & TEOH SHU JOU
Universiti Malaya










